Kisah malang Jahidah Nordin yang pernah koma akibat dipukul bekas suaminya tiga tahun lalu masih berterusan hingga kini.
Wanita ini dilaporkan masih terbaring di atas katil, hanya mampu menerima susu melalui tiub dan dijaga sepenuhnya oleh keluarga.
Manakala, anak kecilnya, Eshan Nufail, yang kini berusia tiga tahun masih tidak mampu berjalan dan bercakap dengan normal.
Jahidah masih terbaring di katil, anak OKU

Memetik laporan Astro Awani, perkembangan terkini ini dimaklumkan adik Jahidah, Fauziah ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad lalu.
Keadaan kakak masih sama, hanya terbaring atas katil. Anak saudaraku pula disahkan OKU, dengan berat hanya 9.5 kilogram dan memerlukan rawatan fisioterapi secara berterusan.
30 November ini anak itu genap berusia 3 tahun, tetapi masih belum boleh berjalan lagi. Mungkin disebabkan kesan mengandung ketika dalam keadaan koma jadi perkembangan dia agak lambat. Doktor yang periksa maklumkan keadaannya seperti kanak-kanak berusia setahun sedangkan dia sudah 3 tahun.
Fauziah yang tiba dari Nilai, Negeri Sembilan bersama abangnya dari Kota Kinabalu, Sabah hadir ke mahkamah demi menemani adik mereka yang terlantar di katil.
Namun, prosiding yang sepatutnya berlangsung ditangguhkan ke 9 Disember apabila bekas suami Jahidah, Rosmaini Abd Raof tidak hadir ke mahkamah kerana ditahan di hospital akibat sesak nafas.
Terdahulu, Jahidah Nordin koma selepas dipukul bekas suami dalam keadaan sedang mengandung. Rosmaini bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan Jahidah dengan parah.
#OhmediaNasihat
Kisah Jahidah memberi pengajaran bahawa kes keganasan rumah tangga perlu diambil serius. Penderaan yang berlaku menyebabkan mangsa terlantar sakit sehingga kini dan anaknya pula berstatus kurang upaya.





