PETALING JAYA: Pelakon, Datin Intan Najuwa menitipkan ucapan penuh kasih buat suaminya, Datuk Ahmah Azraf Azman sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga.
Menerusi perkongsian di Instagram, Intan meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang bukan sahaja menjadi pasangan hidup, malah sahabat terbaik dalam hidupnya.
“Perkahwinan itu indah apabila kita berkahwin dengan sahabat baik sendiri. Sepanjang tiga tahun ini, awak sentiasa menjadi yang terbaik buat saya.
“Terima kasih kerana sentiasa memanjakan saya, menyayangi saya tanpa syarat dan sentiasa berada di sisi setiap kali saya memerlukan awak,” katanya.
Dalam masa sama, Intan turut meluahkan rasa bertuah dengan kehadiran dua cahaya mata perempuan yang menjadi pelengkap kebahagiaan mereka.
“Allah telah mengurniakan perkahwinan kami dengan dua orang puteri yang cantik dan saya akan sentiasa bersyukur dengan keluarga kecil yang telah kami bina bersama,” kongsinya.
Pelakon drama bersiri Jesnita itu turut menghargai pengorbanan suaminya yang sentiasa berada di sisinya pada waktu yang paling sukar, bahkan tidak culas dengan tanggungjawabnya sebagai pelindung dan ketua keluarga.
“Awak sentiasa ada bersama saya ketika saya berada di titik paling rendah. Sepanjang kehamilan saya, awak tidak pernah meninggalkan saya. Awak menggenggam tangan saya erat ketika berada di bilik pembedahan sewaktu saya ketakutan.
“Awak juga berada di sisi ketika saya mula berjalan buat kali pertama selepas melahirkan anak. Awak menemani saya melalui malam-malam yang menyakitkan ketika saya menangis dan sepanjang tempoh selepas bersalin apabila emosi saya tidak menentu.
“Awak telah melihat saya ketika berada dalam keadaan paling rapuh, namun tidak pernah sekali pun awak membuatkan saya berasa keseorangan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Intan berpendapat kehidupan berumah tangga bukan hanya mengenai berkongsi kebahagiaan, sebaliknya kesediaan pasangan untuk terus memilih dan menjaga satu sama lain dalam pelbagau perihal.
“Perkahwinan bukan sekadar tentang saling mencintai ketika hari-hari yang indah. Ia tentang dua insan yang memilih untuk saling menjaga dalam setiap fasa kehidupan.
“Terima kasih untuk tiga tahun yang indah ini, sayang. Saya cintakan awak, sentiasa dan selamanya. Selamat ulang tahun perkahwinan buat kita,” ujarnya.
Intan dan Azraf mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos 2023 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Imane Lunara dan Imane Laudya.

