Kuala Lumpur: Dalam tempoh hanya tiga tahun sejak ditubuhkan pada September 2022, syarikat tenaga bersih Gentari muncul sebagai peneraju tenaga bersih serantau dengan projek berimpak besar dalam mempercepat peralihan tenaga di Asia Pasifik.
Dengan fokus kepada tiga teras utama, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen rendah karbon dan mobiliti hijau, Gentari kini muncul sebagai antara peneraju utama dalam membentuk masa depan tenaga bersih serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit berkata, kerjasama strategik dan pelaksanaan projek berskala besar membuktikan komitmen syarikat untuk menghasilkan kesan nyata dalam inisiatif nyahkarbon.
“Kami percaya kepada tindakan, bukan sekadar janji. Apa yang dilakukan hari ini adalah amat penting untuk masa depan tenaga rantau ini,” katanya.
Tenaga boleh diperbaharui, 8.4 GW di seluruh dunia
Setakat 30 Jun 2025, Gentari telah mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui (sedia dipasang dan dalam pembinaan) sebanyak 8.4 gigawatt (GW) secara global.
Antara projek utama termasuk kerjasama dengan UltraTech Cement di India, bagi membangunkan projek hibrid Round-the-Clock (RTC) pertama negara itu yang menggabungkan tenaga solar, angin dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Projek 7.5 MW di loji Sewagram ini membekalkan tenaga bersih secara berterusan selama 24 jam, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada arang batu serta menurunkan kos tenaga.
Gentari kini telah melaksanakan lebih 40 projek serupa untuk UltraTech Cement di seluruh India.
Sementara itu di Australia, Gentari kini membangunkan Projek Solar & Bateri Maryvale di New South Wales merangkumi 243 MWp tenaga solar bersama sistem BESS berkapasiti 172 MW/409 MWh.
Apabila beroperasi kelak, projek ini mampu menjana sehingga 172 MW tenaga elektrik bersih berjadual.
Di Malaysia pula, Gentari giat memperluaskan tenaga solar bagi kegunaan industri dan komersial, seiring sasaran negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.
Gentari memulakan projek Solar & Penyimpanan Tenaga Bateri Maryvale di New South Wales, gabungan solar 243 MWp dan bateri 172 MW/409 MWh. – FOTO Gentari
Gentari juga memainkan peranan penting dalam Projek VMS (Vietnam–Malaysia–Singapura) iaitu inisiatif pertama seumpamanya di ASEAN yang bakal menghubungkan tenaga angin luar pesisir dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada penyatuan grid elektrik serantau, selain meningkatkan keselamatan tenaga dan mempelbagaikan campuran tenaga bersih di ketiga-tiga negara.
Hidrogen, sumber tenaga masa hadapan
Selain membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, Gentari turut meneroka potensi hidrogen sebagai bahan api masa depan dan memperluas mobiliti hijau, tiga teras yang saling melengkapi dalam misi nyahkarbon serantau.
Di India, Gentari komited membangunkan kapasiti sehingga 5 juta tan setahun (MTPA) untuk ammonia hijau menjelang 2030, menyumbang 20 peratus kepada sasaran negara tersebut di bawah Misi Hidrogen Hijau Nasional.
Antara projek utama ialah kemudahan bersepadu di Kakinada, Andhra Pradesh yang akan dijana oleh 650 MW tenaga boleh diperbaharui.
Projek ini dijangka menjadi antara kemudahan pengeluaran ammonia hijau terbesar di India.
Sementara itu, di Sarawak, Gentari bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memanfaatkan tenaga hidro bagi menghasilkan hidrogen bersih, sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport tenaga hijau ke Jepun, Korea dan negara lain.
Barisan Hadapan (kiri ke kanan): Le Ngoc Son, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroVietnam; Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS; Datuk Ir. Megat Jalaluddin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB; dan Wong Kim Yin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sembcorp.
Barisan Kedua (kiri ke kanan): Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Vietnam; Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia; dan Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura.
Mobiliti Hijau, memacu perjalanan masa depan
Dalam masa yang sama, Gentari juga aktif memajukan mobiliti hijau dengan membangunkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) merentas rantau.
Setakat ini, Gentari telah memasang lebih daripada 570 unit pengecas di seluruh Malaysia termasuk lebih 250 pengecas pantas arus terus (DC), menjadikannya antara pengendali pengecas pantas DC terbesar di lebuhraya negara ini.
Melalui aplikasi Gentari Go, pengguna EV boleh mengakses lebih 5,000 pengecas di Malaysia, Singapura, Thailand dan India membolehkan perjalanan rentas negara yang lebih lancar dan mesra alam.
Gentari bukan sekadar menyediakan pengecas EV, tetapi juga sedang membina sistem yang lebih pintar, mudah dan menyeluruh untuk pengguna.
Kini memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, Gentari fokus untuk memperluaskan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar, mengkomersialkan teknologi hidrogen, dan meningkatkan penggunaan pengecas EV.
Pada masa sama, syarikat ini terus memperkukuh kerjasama rentas sempadan untuk menyokong dasar tenaga nasional dan serantau.
“Peralihan tenaga bukan perlumbaan pecut, tetapi perlumbaan berganti-ganti.
“Apa yang kita lakukan dalam dekad ini akan menentukan hala tuju Asia untuk generasi akan datang,” kata Sushil.
Menjelang 2030, Gentari berhasrat menjadi rakan penyelesaian tenaga bersih paling bernilai di Asia Pasifik.
Nilai ini diukur bukan sekadar melalui jumlah kapasiti projek, tetapi melalui impak sebenar yang dirasai masyarakat, ekonomi dan alam sekitar bagi memastikan generasi akan datang menikmati masa depan yang lebih lestari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




