Tiga tukang cat tidak mengaku salah rompak dua beradik

Tiga tukang cat tidak mengaku salah rompak dua beradik

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Tiga rakan yang memiliki rekod lampau termasuk kes samun dan dadah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merompak serta mengacu parang terhadap dua beradik wanita, bulan lalu.

Tertuduh, Wong Chong Loong, 45; Sim Jia Ie; 28; dan Ngoh Tian Song, 50, masing-masing bekerja sebagai tukang cat mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan dua parang berukuran 57 sentimeter (sm) dan 53 sm terhadap mangsa wanita berusia 70 tahun dan melarikan telefon bimbit serta wang tunai.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bersama-sama didakwa melakukan rompakan menggunakan senjata sama ke atas mangsa wanita berusia 68 tahun dengan melarikan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan wang tunai.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Banang Jaya, di sini, kira-kira jam 8 pagi, 19 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketiga-tiga tertuduh dibenarkan diikat jamin RM20,000, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Bagaimanapun, kesemua mereka tidak mampu membayar ikat jamin sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top