SURABAYA – Tiga anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) dari tiga daerah di Jawa Timur antara lapan individu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel mewah di Surabaya, awal pagi Isnin.
Ketiga-tiga wakil rakyat itu masing-masing dikenali sebagai ARM dari DPRD Situbondo, AM atau MUA/UAM dari DPRD Kabupaten Malang dan ADR dari DPRD Banyuwangi, kesemuanya daripada Parti Gerindra.
Serbuan dilakukan anggota narkotik polis Surabaya selepas menerima maklumat orang awam mengenai aktiviti mencurigakan seorang pekerja swasta yang dikenali sebagai N di hotel berkenaan.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Surabaya, AKP Hadi Ismanto berkata, polis mendapati lapan individu berada dalam sebuah bilik dan disyaki sedang mengambil dadah secara bersama ketika serbuan dilakukan.
Lapan individu yang ditahan dikenal pasti sebagai F, R, K, N, Ro, U, Ar dan A.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati N mengaku memperoleh dadah jenis syabu dan ekstasi daripada seorang individu yang dikenali sebagai C yang kini diburu polis.
Polis turut merampas satu paket plastik kecil yang mengandungi baki syabu, dua biji pil ekstasi berwarna kuning, alat penyedut dadah, pemetik api serta sebungkus rokok yang digunakan sebagai tempat menyimpan bahan berkenaan.
Ujian makmal dan saringan air kencing kemudian mendapati tujuh daripada lapan individu yang ditahan positif mengambil ekstasi.
N pula didapati positif mengambil dua jenis dadah, iaitu syabu dan ekstasi.
Bagaimanapun, kes itu tidak diteruskan melalui pendakwaan biasa selepas polis menyatakan jumlah bahan bukti yang dirampas berada di bawah paras minimum seperti diperuntukkan dalam Surat Edaran Mahkamah Agung (SEMA) Indonesia.
Kes berkenaan kemudian diarahkan untuk diproses melalui mekanisme keadilan restoratif mengikut prosedur undang-undang yang ditetapkan.
Penahanan tiga anggota DPRD itu turut mencetuskan reaksi dalam kalangan pimpinan Parti Gerindra di daerah masing-masing.
Ketua Parti Gerindra DPRD Banyuwangi, Suwito, berkata, beliau hanya mengetahui mengenai penahanan ADR melalui laporan media dan menegaskan tiada agenda rasmi parti di Surabaya pada ketika itu.
Sementara itu, Ketua Parti Gerindra DPRD Kabupaten Malang, Zia Ulhaq berkata, beliau kali terakhir bertemu MUA pada Sabtu lalu ketika menghadiri sebuah program keagamaan di Surabaya.
Menurutnya, beliau telah cuba menghubungi MUA selepas berita penahanan itu tersebar, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Pihak parti setakat ini memilih menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung penglibatan ketiga-tiga anggotanya. – Agensi



