am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Tiket Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 tahun yang bakal berlangsung pada 27 September depan di Zepp KL ‘sold out’ (habis dijual) dalam tempoh dua jam.
Anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun berkata, pihaknya bersyukur dengan sambutan hangat yang diberikan peminat nasyid pada konsert berkenaan.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kepada Allah SWT dan ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan yang sudah mendapatkan tiket.
“Mohon maaf dan cuba lagi di masa akan datang kepada mereka yang tak berjaya beli tadi,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenai tiket konsert, kata Hazamin, pada mulanya pihak mereka tidak menjangka jualan tiket akan mendapat sambutan hangat sebegitu.
“Tapi dua hingga tiga hari sebelum tarikh jualan tiket konsert mula menjadi ‘trending’.
“Ada beberapa video yang tular berkaitan konsert yang menyebabkan kami mula berasa jualan tiket akan laju dan habis terjual,” katanya.
Ditanya tarikan konsert pula, kata Hazamin, ia diadakan sempena 25 tahun Inteam dalam industri muzik dan ramai peminat kumpulan itu kini sudah dewasa.
“Mungkin peminat mahu mengimbau kenangan mereka dahulu dengan lagu-lagu popular Inteam seperti Kasih Kekasih, Nur Kasih, Damba Kasih yang menggamit nostalgia dalam hidup mereka.
“Selain itu, kerjasama Inteam dalam satu video tular parodi lagu Nur Kasih dengan Papa Ayie juga tular dan ramai menantikan kedatangan konsert ini.
“Insya-Allah, pihak kami akan menyampaikan rangkaian lagu hits dan nostalgia dan peminat boleh menyanyi bersama untuk mengimbau kenangan nanti.
“Selain itu, ada beberapa kejutan yang akan kami persembahkan dalam konsert nanti,” katanya.
Berkongsi persediaan konsert pula, Hazamin berkata, pihaknya masih meneliti isi kandungan konsert dan cuba menghasilkan yang terbaik untuk tatapan penonton dengan tema Cinta Ilahi, Sayang Nabi dan Kasih Insani nanti.
“Pihak kami akan menyampaikan rangkaian 25 hingga 27 lagu termasuk medley dan akan ada gimik atau kejutan buat peminat nanti,” katanya.
Selain Hazamin, kumpulan Inteam menampilkan tiga lagi anggota iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman.
Terdahulu, peminat kumpulan Inteam meluahkan perasaan teruja dan bersedia untuk ‘berperang’ untuk mendapatkan tiket konsert berkenaan sejak mereka mengumumkan konsert berkenaan di media sosial.
Lebih lucu, ramai netizen yang mula berlatih dan gigih menghafal semula lagu-lagu popular mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd