Tiket Olimpik LA 2028 serendah RM132 mula dijual 9 April

Tiket Olimpik LA 2028 serendah RM132 mula dijual 9 April

Los Angeles: Tiket bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 akan mula dijual kepada orang ramai bermula 9 April ini, umum penganjur sambil memberi jaminan keselamatan tiket dengan memperkenalkan platform jual semula yang disahkan bermula 2027.

Jualan awal akan dibuka kepada penduduk di kawasan terpilih sekitar Los Angeles dan Oklahoma City bermula 2 April, dengan emel pemberitahuan kepada pembeli terpilih dihantar antara 31 Mac hingga 4 April, menurut LA28.

Pada 7 April, jawatankuasa penganjur akan memaklumkan baki pendaftar sama ada mereka dipilih untuk slot pembelian dalam pusingan jualan awam pertama yang dikenali sebagai Drop 1.

“Minggu ini adalah peluang pertama buat peminat mendapatkan tempat di Sukan Olimpik LA28,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LA28, Reynold Hoover dalam satu kenyataan.

Program penjualan tiket LA28 turut membabitkan 1 juta tiket berharga serendah AS$28 (RM132), iaitu harga paling rendah ditawarkan.

Kira-kira lima peratus tiket Olimpik pula dijual melebihi AS$1,000 (RM4,700), manakala lebih 75 peratus tiket termasuk aksi final ditawarkan bawah AS$400 (RM1,880) dan hampir 50 peratus lagi bawah AS$200 (RM940).

“Tiket ini setanding malah dalam banyak kes lebih murah berbanding acara sukan profesional dan hiburan utama di Amerika Syarikat,” kata Naib Presiden Kanan Hasil Sukan LA28, Allison Katz-Mayfield.

LA28 memaklumkan platform jual semula tiket yang disahkan akan dibuka pada 2027, dengan AXS dan Eventim bertindak sebagai pasaran sekunder rasmi.

Selain itu, Ticketmaster dan Sports Illustrated Tickets turut dinamakan sebagai platform jual semula yang disahkan.

Pengumuman itu dibuat ketika penganjur bersiap sedia untuk fasa jualan tiket pertama, selain memberi amaran kepada peminat agar tidak membeli daripada penjual tidak sah sebelum program jual semula dilancarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top