Labuan: Pengguna perkhidmatan udara dari pulau bebas cukai ini bimbang dengan tambang semakin mahal bagi laluan Labuan-Kota Kinabalu yang disifatkan sebagai tidak wajar dan membebankan, berbanding penerbangan destinasi antarabangsa seperti Bangkok, Thailand dan Seoul, Korea Selatan.
Beberapa pengembara perniagaan memberitahu Bernama hari ini, bahawa harga tiket penerbangan sehala dari Labuan ke Kota Kinabalu pada 2 Julai dijual setinggi RM775 dan RM1,207 berbanding harga bagi laluan Kota Kinabalu ke Bangkok yang bermula daripada RM411 dan RM661 ke Seoul bagi tarikh sama.
Penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira 35 minit manakala tempoh masa lima jam 25 minit bagi penerbangan ke Seoul dan kira-kira tiga jam tujuh minit ke Bangkok.
David Lee, 49, yang sering ke Labuan bagi urusan perniagaan gas dan minyak, menyifatkan situasi itu sebagai tidak boleh diterima.
“Saya merancang penerbangan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri mesyuarat dan terkejut apabila mendapati harga tiket melebihi RM1,200. Bagaimana penerbangan mengambil masa kurang satu jam lebih mahal berbanding trip antarabangsa ke Korea?” katanya.
Pegawai kerajaan bertugas di Labuan Nurul Shafiqah Abdullah, 34, juga berkongsi kekecewaan dan berkata tambang itu menjadi sangat mahal untuk kebanyakan penduduk tempatan.
“Ini bukan laluan mewah tetapi talian hayat kepada ramai orang yang bergantung kepada perjalanan udara untuk tujuan perubatan, kerja dan keluarga. Tetapi harga ini menekan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Raymond Chong, 41, yang menguruskan syarikat logistik kecewa kerana tiada harga kompetitif walaupun penduduk dan komuniti perniagaan di Labuan telah lama membuat rayuan.
“MasWings dan Malaysia Airlines merupakan satu-satunya pengendali pengangkutan udara dan menggunakan pesawat kecil atau sesekali Boeing. Dengan pilihan terhad, orang ramai tiada pilihan selain membayar atau membatalkan perjalanan,” katanya.
Usahawan tempatan Faridah Musa, 46, meminta kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa penerbangan untuk campur tangan bagi mengawal mekanisme harga.
“Kami berada di pulau tanpa akses jalan raya. Penerbangan adalah keperluan, bukan pilihan. Keadaan ini bukan sekadar kesulitan tetapi juga merugikan kami.
“Semakin banyak desakan untuk struktur tambang yang lebih telus dan usaha bagi meningkatkan persaingan antara syarikat penerbangan bagi memastikan perjalanan lebih mampu milik untuk penduduk Labuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd