Tiket Piala Dunia 2026 'meletup', harga RM646,000 untuk final?

Tiket Piala Dunia 2026 'meletup', harga RM646,000 untuk final?

Washington: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, mengesahkan bahawa kesemua 104 perlawanan Piala Dunia 2026 akan ‘habis dijual’ walaupun tiket masih tersedia untuk kejohanan dari 11 Jun hingga 19 Julai.

“Permintaan sangat tinggi. Setiap perlawanan habis dijual,” kata Infantino dalam temu bual dengan CNBC pada Rabu dari Mar-a-Lago Resort, kediaman Presiden Donald Trump.

Infantino berkata, dalam tempoh empat minggu, terdapat 508 juta permintaan tiket dari lebih 200 negara bagi kira-kira tujuh juta tiket yang tersedia.

“Kita belum pernah lihat perkara seperti ini — luar biasa,” katanya.

Kejohanan Piala Dunia 48 pasukan itu berlangsung di 16 bandar penganjur di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, dengan Stadium MetLife menjadi venue perlawanan akhir.

Presiden FIFA itu berkata lokasi perlawanan menyumbang kepada harga tiket tinggi yang dikeluhkan oleh persatuan penyokong bola sepak.

“Saya rasa ia kerana kejohanan di Amerika, Kanada dan Mexico. Semua orang mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa,” katanya.

Harga tiket turut dipengaruhi oleh laman web jualan semula yang menggunakan jualan ‘harga ikut pasaran semasa’, menyebabkan kos meningkat berbanding harga asal.

Menurut laporan Straits Times, tiket kategori tiga untuk perlawanan pembukaan Mexico menentang Afrika Selatan pada 11 Jun di Mexico City dijual semula pada $5,324 (RM23,958) berbanding harga asal $895 (RM4,028). Manakala tiket kategori sama bagi perlawanan akhir pada 19 Julai, asalnya $3,450 (RM15,525), dijual $143,750 (RM646,875) pada 11 Februari lalu.

Pada Disember lalu, FIFA memperkenalkan tiket khas yang disediakan untuk penyokong setia pasukan berharga $60 (RM270) untuk diagihkan kepada persatuan negara yang layak, bagi memastikan ia sampai kepada penyokong setia.

Infantino menjangkakan Piala Dunia 2026 akan menjana $11 bilion (RM49.5 bilion) hasil untuk FIFA, dan setiap dolar akan dilaburkan semula dalam sukan di 211 negara ahli.

Pada masa sama, beliau turut menganggarkan impak ekonomi kepada Amerika Syarikat sekitar $30 bilion (RM135 bilion) melalui pelancongan, katering, keselamatan dan lain-lain, serta menarik 20 hingga 30 juta pelancong serta mewujudkan 185,000 pekerjaan sepenuh masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top