Tiki-taka JDT lenyapkan perjuangan Shanghai Shenhua FC

Tiki-taka JDT lenyapkan perjuangan Shanghai Shenhua FC

rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di dalam kelas tersendiri apabila menjinakkan Shanghai Shenhua FC 3-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim.

Ia juga kemenangan kedua buat JDT mengatasi kelab dari China itu selepas musim lalu menewaskan skuad bimbingan Leonid Slutskiy 3-0 pada aksi di gelanggang keramat Harimau Selatan.

Kemenangan skuad kendalian Xisco Munoz itu membolehkan Harimau Selatan melonjak ke tangga kedua Zon Timur selepas mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri untuk berada di kelompok lapan pasukan terbaik zon berkenaan,

Sebaik perlawanan bermula, JDT tampak tidak menunggu lama untuk mengasak kubu Shanghai Shenhua FC dan seawal minit keempat Oscar Arribas hampir mengejutkan anak buah Slutskiy apabila bola rembatannya mengenai tiang ketika penjaga gol, Bao Yaxiong sudah tertewas.

Namun malang buat JDT apabila terpaksa mengeluarkan pemain tengah, Ager Aketxe selepas mengalami kecederaan pada minit ke-19 dan Afiq Fazail masuk bagi mengimbangi semula posisi berkenaan.

Penguasaan ketara Harimau Selatan yang rakus mengasak kubu anak buah Slutskiy hampir menghasilkan jaringan pada minit ke-30 selepas bola umpanan Afiq menyaksikan Jairo melakukan rembatan leret tepat ke gawang namun sempat di tepis Yaxiong.

Yaxiong pastinya menarik nafas lega ketika aksi memasuki minit ke-38 apabila berjaya menepis bola rembatan Nacho Mendez dan bola muntah itu disambar Arribas yang melakukan sepakan namun palang gol menjadi penyelamat buat Shanghai Shenhua FC daripada dibolosi.

Walaupun sering diasak JDT, pasukan pelawat bagaikan mencuba nasib untuk merungkai pada minit akhir babak pertama selepas bola sepakan sudut Gao Tianyi ditanduk Luis Asue namun tersasar di sebelah kiri gawang Harimau Selatan.

Bersambung babak kedua, JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-47 dan ianya berpunca daripada gerakan ‘budak ajaib’ Arif Aiman Hanapi walaupun diapit dua pertahanan lawan tapi masih mampu melintangkan bola menyaksikan Jonanthan Silva yang tidak dikawal sekadar menolak ke gawang menewaskan Yaxiong.

Walaupun Shanghai Shenhua FC berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-52 menerusi Andre Luis tapi pengadil perlawanan, Adham Makhadmed dari Jordan membatalkan gol berkenaan selepas mengesan kekasaran yang dilakukan Asue terhadap penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre dan kedudukan 1-0 milik Harimau Selatan kekal.

Arribas yang terlepas dua peluang terbaik menjaringkan gol di babak pertama, bagaikan melepaskan geram apabila bola umpanan Afiq yang bermula di posisi sayap kiri menyaksikan pemain import kuota Asia itu sempat mendadakan bola sebelum merembat leret tepat ke penjuru kiri menewaskan Yaxiong.

Pelawat dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-69 selepas Adham Makhadmed yang melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan Natxo Insa melakukan bentesan terhadap Li Ke di dalam kotak penalti dan pemain gantian Saulo Mineiro mudah menyepak masuk menewaskan Zubiaurre untuk merapatkan jurang gol.

Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan, JDT melenyapkan kebangkitan Shanghai Shenhua FC selepas bola umpanan Arif yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti membuka ruang buat Silva merembat bola kencang menerjah jaring bagi mencetak gol kedua peribadi sekali gus memastikan kemenangan 3-1 memihak Harimau Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top