harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 76,002 kandungan diturunkan dari platform media sosial, TikTok bermula 1 Januari hingga 31 Ogos.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata terdapat 10,730 kandungan lagi yang diminta untuk diturunkan oleh pihak kementerian namun tidak dituruti pengendali TikTok
“Ini bermaksud peratusan penurunan adalah sebanyak 86 peratus dan penting saya terangkan bahawa tindakan menurunkan dilakukan oleh platform sendiri berdasarkan garis panduan yang mereka (platform) terbitkan.
“Jadi walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meminta platform untuk menurunkan sesebuah kandungan, namun ia (diturunkan) berdasarkan garis panduan komuniti platform terbabit.
“Sekiranya platform berpendapat berdasarkan aspek undang-undang dan perundangan bahawa ia tidak melanggar garis panduan komuniti, maka kandungan berkenaan tidak diturunkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, pelbagai isu berbangkit membabitkan platform itu dibincangkan menerusi perjumpaan berkenaan khususnya kes jenayah siber dan buli siber kerana platform itu dilihat tidak proaktif bagi membendung masalah terbabit.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat sejumlah kertas siasatan dibuka membabitkan platform TikTok.
“Pihak TikTok sangat culas, sangat lewat untuk memberikan maklumat untuk mengatasi masalah ‘scam’ bila ia berlaku.
“Jadi kita serahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta MCMC bagi meletakkan perkara untuk diutamakan pihak TikTok supaya kita dapat segera selesaikan masalah ini,” katanya.
Menurutnya, pihak kerajaan setakat ini tidak bercadang mengenakan tindakan sekatan ke atas platform itu kerana aplikasi itu juga banyak memberi manfaat termasuk pendapatan tambahan kepada masyarakat.
Justeru isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah berhubung masalah penipuan dan buli siber serta pematuhan pihak TikTok kepada undang-undang negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




