Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu ikut jejak letak jawatan

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu ikut jejak letak jawatan

KUALA NERUS: Krisis kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu semakin meruncing apabila Timbalan Ketua Badan Pimpinannya, Khazan Che Mat bakal mengikut jejak beberapa pemimpin kanan parti itu meletak jawatan.

Khazan yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri berkata, beliau akan menghantar surat peletakan jawatan itu minggu depan selain turut melepaskan tugas sebagai Ketua Bersatu Bahagian Kuala Nerus.

Katanya, keputusan meletak jawatan dan enggan memangku tugas sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri  dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada ahli jawatankuasa parti berkenaan.

“Saya juga terpaksa mencari peruntukan untuk uruskan pembayaran elaun petugas dan sewa bangunan pejabat selama dua bulan sebelum boleh berbuat demikian,” katanya hari ini.

Terdahulu, Bersatu Terengganu dilapor berdepan krisis kepemimpinan apabila Ketua Badan Pimpinan negeri, Datuk Razali Idris mengumumkan meletak jawatan yang diikuti dua lagi pemimpin kanan parti berkenaan. 

Dua lagi pemimpin kanan Bersatu Terengganu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd. Zawawi Ismail dan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ketua Penerangan dan Bendahari Bersatu negeri.

Khazan berkata, walaupun merupakan orang nombor dua Bersatu Terengganu, beliau tidak berhasrat memangku jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri selepas Razali mengumumkan meletak jawatan, Jumaat lalu.

“Saya bukan mengejar jawatan dan menyertai Bersatu pada  2016 pun atas jemputan Razali yang juga Exco kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kelemahan Bersatu adalah lambat bertindak menggantikan kekosongan jawatan ketua bahagian terutama membabitkan bahagian Besut dan Hulu Terengganu. – UTUSAN

Scroll to Top