Timbalan Ketua Wanita PKR Putrajaya letak jawatan

Timbalan Ketua Wanita PKR Putrajaya letak jawatan
Timbalan Ketua Wanita PKR Putrajaya letak jawatan

Fasyarini berkata, PKR Cabang Putrajaya mengambil maklum mengenai keputusan yang dibuat oleh Sateerah dan menghormati pilihannya itu.

SHAH ALAM – Sateerah Hassan disahkan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Putrajaya.

Ketua Wanita PKR Cabang Putrajaya, Fasyarini Azahari berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keputusan yang dibuat oleh Sateerah dan menghormati pilihannya itu.

Ujarnya, parti berkenaan merakamkan penghargaan atas segala sumbangan, komitmen dan khidmat yang telah dicurahkan beliau sepanjang berada dalam saf kepimpinan.

“Setiap tenaga dan usaha yang dicurahkan dalam memperkukuh gerak kerja parti khususnya melibatkan agenda wanita dan masyarakat setempat amat kami hargai.

“Dalam sebuah organisasi politik yang matang dan demokratik, perbezaan pandangan serta perubahan dalam kepimpinan merupakan perkara yang lumrah,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad secara rasmi telah menghantar surat pemakluman peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menurut mereka, keputusan itu dibuat ekoran hasrat untuk meneroka agenda politik baharu, selain akan kembali bertanding di kedua-dua kerusi tersebut menggunakan platform Parti Bersama Malaysia pada pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Fasyarini menegaskan, parti terbabit akan terus memberi tumpuan utama kepada usaha memperkukuh organisasi, menjaga kebajikan rakyat dan meneruskan agenda reformasi demi kesejahteraan masyarakat.

“Saya yakin seluruh kepimpinan dan anggota Wanita PKR Cabang Putrajaya akan terus bergerak secara kolektif, matang dan profesional.

“Ini bagi memastikan gerak kerja parti berjalan dengan baik serta kekal utuh dalam menghadapi cabaran semasa,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mendoakan kejayaan berterusan buat Sateerah dalam apa-apa bidang yang bakal diceburi selepas ini.

Scroll to Top