Timbalan KPN diarah perjelas larangan dikenakan ke atas Fahmi Reza – PMO

Timbalan KPN diarah perjelas larangan dikenakan ke atas Fahmi Reza – PMO

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay diarahkan untuk menyemak isu larangan ke luar negara dikenakan ke atas aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, berkata arahan berkenaan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan MADANI menjunjung tinggi kebebasan individu selagi tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini.

“Pejabat Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan ini dengan sewajarnya,” katanya.

Semalam, Fahmi menerusi entri di Facebooknya memaklumkan dilarang keluar negara untuk menghadiri konsert di Singapura menerusi penerbangan dijadualkan berlepas pada jam 9.35 pagi.

Fahmi ditahan di kaunter imigresen pelepasan antarabangsa dan diminta duduk di pejabat pihak berkuasa berkenaan sementara pegawai membuat semakan dengan ‘Travel Control Office/Order’ (TCO), selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada jam 7.30 pagi semalam.

Hasil semakan mendapati, Fahmi dilarang ke luar negara atas arahan Bukit Aman dengan alasan tindakan berkenaan tidak dimaklumkan.

Fahmi turut memaklumkan larang ke luar negara itu dikenakan ke atasnya, seminggu selepas dilarang masuk ke Sabah susulan lukisan mengkritik Yang di-Pertua Sabah, Tun Musa Aman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top