SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri republik ini, Heng Swee Keat, memutuskan untuk berundur daripada kepimpinan pasukan Generasi Keempat (4G) dan tidak akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Beliau memberi alasan mahu memberi laluan kepada pemimpin muda yang mempunyai masa lebih panjang untuk memimpin negara selepas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, bersara.
Keputusan itu diumumkan dalam sidang akhbar di Istana dan menerusi surat kepada Hsien Loong semalam manakala rombakan Kabinet dijangka diumumkan dalam masa dua minggu ini.
Difahamkan, Hsien Loong sudah menerima keputusan Swee Keat tetapi memintanya meneruskan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi
Selain itu, beliau akan kekal memegang jawatan Setiausaha Agung Pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) tetapi melepaskan jawatan Menteri Kewangan.
Swee Keat berkata faktor usia dan keperluan masa serta tenaga yang banyak untuk menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri adalah antara sebab beliau membuat keputusan sukar untuk menarik diri.
Katanya pandemik berpanjangan menyebabkan beliau mempunyai masa yang pendek untuk menjalankan tugas terbabit.
Beliau kini berusia 60 tahun tetapi apabila pandemik berjaya diatasi kelak beliau mungkin menjangkau usia pertengahan 60-an.
Swee Keat berkata beliau turut mengambil kira usia tiga Perdana Menteri Singapura terdahulu ketika mengambil jawatan, yang mana mereka mempunyai masa cukup panjang untuk membangunkan Singapura.
Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, memegang jawatan pada usia 35 tahun, Encik Goh Chok Tong pada usia 49 tahun manakala Hsien Loong ketika berumur 52 tahun.
Menurut Swee Keat, walaupun beliau kini sihat, jawatan sebagai Perdana Menteri memerlukan masa dan tenaga yang banyak, lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19.
“Ia bagi membolehkan pasukan 4G memilih calon Perdana Menteri terbaik dan saya sedia menyokong pemimpin seterusnya,” katanya dalam surat kepada Perdana Menteri.
Sementara itu, Hsien Loong, surat balasnya, berkata beliau memahami dan menghormati keputusan Swee Keat, yang menjalankan tugas cemerlang sebagai Menteri Kewangan, lebih-lebih lagi dalam tempoh setahun lalu.
“Saya mengucapkan terima kasih terhadap keputusan anda yang tidak mementingkan diri untuk mengundur diri.
“Langkah anda ini sejajar dengan semangat khidmat awam dan sikap tanggungjawab yang menjadi motivasi untuk anda melangkah ke depan semasa saya meminta anda bertanding dalam pilihan raya pada 2011,” katanya.
Sehubungan itu, pasukan 4G turut meminta Hsien Loong kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pengganti baru yang sesuai dipilih dan bersedia untuk mengambil alih. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




