Timbalan Speaker beri amaran kepada Hulu Langat supaya jaga adab

Timbalan Speaker beri amaran kepada Hulu Langat supaya jaga adab

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor memberi amaran kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan supaya menjaga adab ketika berada di dalam Dewan Rakyat.

Beliau turut menegaskan tidak akan teragak-agak mengarahkan Mohd Sany keluar dewan sekiranya mengulangi perbuatannya yang dianggap mengganggu perjalanan mesyuarat.

“Yang Berhormat Hulu Langat, apa masalah? Yang Berhormat, majlis (Dewan Rakyat) ada adab. Sekali lagi Yang Berhormat buat, langgar…saya akan halau keluar dewan, saya serius,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Mohd Sany sebelum itu bangkit mencelah ketika Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Sebaik Onn selesai membangkitkan soalan, Mohd Sany secara berseloroh memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Batu Pahat sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, tindakan beliau tidak disenangi Ramli memandangkan sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan sedang berlangsung.

Scroll to Top