Tindakan amat biadab! Pijak al-Quran sama seperti pijak kitab Veda -Sivamalar

Tindakan amat biadab! Pijak al-Quran sama seperti pijak kitab Veda -Sivamalar

Tindakan menghina kitab suci mana-mana agama tidak boleh diterima sama sekali, tegas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), G. Sivamalar susulan insiden seorang penuntut Institusi Pengajian tinggi pijak al-Quran.

Pijak al-Quran sama seperti pijak kitab Veda

Menurut beliau menerusi satu kenyataan, agama Hindu seperti agama-agama lain tidak pernah mengizinkan perbuatan menghina kitab suci atau rumah ibadat mana-mana agama.

Katanya, seorang penganut Hindu yang bertanggungjawab tidak akan bertindak sedemikian kerana memijak al-Quran bagi penganut Hindu adalah seumpama memijak kitab Veda sendiri dan ia melanggar suara hati, keimanan serta nilai kemanusiaan.

“Tindakan sedemikian amat biadab, tidak boleh diterima dan sama sekali tidak mempunyai tempat dalam sebuah masyarakat bertamadun serta berbilang agama seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pijak al-Quran tindakan sangat biadab

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan perbuatan mempersenda dan menyebarkan rakaman video melibatkan perobohan kuil, tokong atau mana-mana rumah ibadat sambil bergambar dan ketawa, malah berkali-kali menyatakan kuil sebagai ‘haram’, sebagai sesuatu yang tercela dan tidak boleh diterima kerana ia menyakitkan hati serta menggugat keharmonian antara agama.

“Seorang Muslim yang berpegang kepada prinsip dan nilai agama tidak akan bertindak sedemikian.
“Penghinaan tidak boleh sama sekali dibenarkan, tanpa mengira daripada komuniti mana ia datang,” katanya.

Beliau menegaskan, tidak adil dan berbahaya untuk menghukum keseluruhan komuniti atas perbuatan segelintir individu kerana sikap menyalahkan secara kolektif hanya menambah curiga dan meretakkan fabrik sosial negara.

“Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa bukan semata-mata kerana kekuatan ekonominya, tetapi kerana kemampuan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Artikel lain: Tidak beradab! Kerajaan kecam sekerasnya pelajar hina Islam, pijak al-Quran -Fahmi

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak terperangkap dengan agenda pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecah-belahkan masyarakat, terutama ketika suasana politik semakin memanas menjelang pilihan raya umum.

Scroll to Top