Tindakan BERSATU umum calon PM langkaui PN – PAS

Tindakan BERSATU umum calon PM langkaui PN – PAS

am@hmetro.com.my

Alor Setar: PAS menganggap tindakan BERSATU menamakan calon Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung baru-baru ini sebagai melangkau keputusan yang sepatutnya dibuat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN mempunyai empat wakil parti komponen yang mempunyai hak sama rata dalam berbincang dan membuat keputusan.

Berikutan itu katanya, PAS menetapkan sebarang ketetapan yang membabitkan keputusan bersama perlu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi PN terlebih dahulu sebelum diumumkan.

“Kita ada empat rakan kongsi yang ada hak sama rata dalam PN, apa-apa keputusan yang dibuat oleh Pengerusi PN atau siapa-siapa, mesti melalui Majlis Tertinggi PN.

“Jadi sebab itu kita agak tidak begitu bersetuju dengan apa-apa pengumuman sama ada calon Perdana Menteri atau sebagainya. Maka bagi PAS, kenyataan itu agak mendahului keputusan PN.

“Sebagai suatu gabungan yang ada hak perkongsian sama, kita tak ada yang kecil atau besar, tak ada abang besar,” katanya pada sidang media selepas Muktamar PAS Pusat di sini, hari ini.

Mengulas mengenai desakan agar PAS mengetuai PN selepas ini, Takiyuddin mendedahkan parti itu sudah beberapa kali ditawar memegang jawatan Pengerusi PN sebelum ini.

Bagaimanapun jelasnya, PAS menolak kerana melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih layak berdasarkan pengalaman dan keupayaannya ketika itu, namun PAS bersedia memikul tanggungjawab terbabit selepas ini.

“Untuk rekod, kita sudah beberapa kali ditawar menjadi Pengerusi PN. Oleh sebab itu kita sedia menerima sebab kita pernah ditawar untuk mengetuai. Sekarang kita nyatakan kita bersedia untuk menjadi Pengerusi.

“Dulu kita putuskan, kerana keadaan pada masa itu merasakan Muhyiddin mungkin lebih sesuai, beliau bekas Perdana Menteri. Tapi sekarang kita bersedia, kalau kita diminta, kita bersedia (dan) Biasanya Presiden parti jadi pengerusi PN,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top