lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan dua wanita berjiran dikenali ‘makcik blower’ dan ‘makcik sapu’ yang tular di media sosial sebelum ini, saling bermaafan sangat dipuji di sisi Islam.
Pendakwah terkenal, Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, bersifat pemaaf dan menahan sabar adalah antara ciri-ciri orang bertakwa sebagaimana firman Allah dalam ayat 133 dan 134, Surah Ali Imran.
Menurutnya, insiden seperti ini seharusnya menjadi pengajaran kepada orang ramai terutama umat Islam.
“Alhamdulillah, kisah ‘makcik blower’ dan ‘makcik sapu’ ini sudah selesai apabila mereka meminta maaf antara satu sama lain. Netizen juga perlu berlapang dada dengan peristiwa ini.
“Sifat saling memaafkan dan meminta maaf adalah sifat terpuji dalam Islam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohamed Hanafiah berkata, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW khusus mengenai adab berjiran.
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” [Riwayat Muslim (77)]
“Dunia ini akan terasa sempit bagi seorang yang pendendam, tetapi akan terasa luas bagi seorang yang pemaaf.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kedua-dua jiran ini kerana sudah menunjukkan contoh yang baik iaitu bermaafan antara satu sama lain. Sepatutnya kebaikan seperti ini yang harus ditularkan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pergaduhan lima wanita yang menggunakan penyodok sampah, penyapu dan gayung sebagai objek untuk saling memukul.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan mendapati insiden berpunca daripada perselisihan antara jiran tetangga di taman perumahan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam rusuhan bersenjata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




