am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perbuatan menghina al-Quran perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada walaupun pelaku sudah memohon maaf.
Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, ini kerana perbuatan itu jelas mempunyai unsur mempersendakan dan berbahaya jika tidak ditangani secara tegas.
Katanya, jika perbuatan membiarkan tanpa tindakan dinormalisasikan, ia dibimbangi boleh menjadi ikutan kepada orang lain.
“Permohonan maaf sememangnya digalakkan khususnya berkaitan dengan rasa marah umat Islam.
“Namun, tindakan undang-undang wajar diteruskan oleh pihak berkuasa jika pelaku seorang yang waras dan sabit melakukan kesalahan itu.
“Saya melihat kes sebelum ini yang lepas yang tiada tindakan undang-undang menyebabkan perlakuan sebegini menjadi semakin berani,” katanya.
Mengulas lanjut, Asmadi berkata, undang-undang yang ada ketika ini sudah mencukupi, namun perlu tindakan proses perundangan bagi pihak yang bersalah.
“Kelakuan menghina al-Quran masih perlu didakwa di mahkamah kerana pelakunya akil, baligh dan memikul tanggungjawab.
“Fenomena menghina, memperlaku, kemudian meminta maaf dan tanpa didakwa, ditakuti meneruskan budaya menghina agama, kemudian meminta maaf (kelihatan main-main dengan isu ini).
“Aulawiyatnya (keutamaan) ada di situ. Sebagai manusia yang terhiris rasa, kita mungkin memaafkan, tetapi pemegang amanah undang-undang tetap perlu laksana tuntutan undang-undang,” katanya.
Tegasnya, Allah turut melarang umat Islam menghina agama lain kerana ditakuti mereka menghina agama Islam (menghina kebenaran) tanpa sedar.
“Oleh itu hiduplah dengan hormat menghormati,” katanya.
Kelmarin, tular di media sosial, gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut sebuah universiti awam.
Turut tular gambar suspek serta tangkap layar komen penuntut terbabit menghina Nabi Muhammad SAW.
Penuntut berkenaan juga sudah tampil memohon maaf secara terbuka selepas memuat naik hantaran berkenaan dengan mengakui bertindak dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam selain tidak berada dalam keadaan waras dan tenang.
Berikutan itu, penuntut berusia 21 tahun itu ditahan dan direman empat hari sehingga Sabtu ini, bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




