Tindakan PFA saman FAM boleh makan diri

Tindakan PFA saman FAM boleh makan diri

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mengemukakan saman kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh dianggap sebagai satu tindakan memakan diri yang mana berisiko memberikan kerugian kepada persatuan itu pada masa akan datang.

Peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid menjelaskan ini kerana tindakan terbabit boleh menyebabkan mereka kehilangan status sebagai ahli gabungan badan induk itu buat selama-lamanya.

“Tindakan PFA mengemukakan sama kepada FAM boleh menyebabkan PFA dipecat daripada menjadi ahli gabungan FAM.

“Ini kerana berdasarkan Artikel 72 Bidang Kuasa dalam Statut FAM Edisi 2023 menyatakan FAM, ahli atau pasukan, pegawai atau pemain serta ejen perlawanan dan ejen bola sepak atau mana-mana individu sebenar dan individu di sisi undang-undang seperti yang ditakrifkan di dalam Statut FAM tidak boleh membawa apa-apa jua pertikaiannya ke mana-mana Mahkamah Biasa.

“..melainkan Peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau undang-undang mandatori Malaysia secara khusus memperuntukkan atau menetapkan rekursa ke mahkamah biasa.

“Tertakluk kepada Artikel 72 (1), jika sekiranya ahli atau pasukan, pegawai atau pemain membawa apa-apa jua kes atau pertikaian ke mana-mana mahkamah, maka ahli atau pasukan akan dilucutkan keahlian dan penyertaannya dalam aktiviti bola sepak akan dibatalkan pendaftarannya secara automatik.

“Manakala pegawai dan pemain akan digantung secara kekal dan tidak boleh menyertai sebarang aktiviti bola sepak di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri, daerah. Ahli atau pasukan, pegawai atau pemain hilang hak untuk merayu melainkan diputuskan sebaliknya,” kata Zhafri.

Bagaimanapun, Zhafri menyatakan permohonan perintah injuksi oleh PFA itu bukanlah ‘muktamad’ bagi menghalang Kongres Pemilihan FAM daripada dijalankan pada bulan depan.

Katanya, ini kerana permohonan PFA itu masih perlu diteliti oleh pihak mahkamah sebelum proses seterusnya dapat dijalankan.

“Semua orang boleh failkan kes di mahkamah. Cuma nanti mahkamah akan lihat sama ada saman itu boleh diteruskan atau tidak dan melihat merit dengan permohonan interim injuksi terbabit.

“Jika ada merit, mahkamah akan berikan 21 hari interim injuksi sementara mendengar ‘inter parte’ dan jika dibenarkan injuksi interim, ianya akan terpakai sehingga 27 Januari 2025.

“Melainkan PFA kekal digantung sementara, kongrees FAM tidak akan terjejas kecuali PFA dapat injuksi kekal daripada mahkamah,” katanya.

Terdahulu, kemelut isu pertikaian keputusan penggantungan keahlian PFA oleh FAM, bulan lalu dilihat semakin memanas selepas PFA memfailkan permohonan perintah injuksi bagi menghalang Kongres Pemilihan FAM bulan depan.

Permohonan perintah injuksi berkenaan adalah satu lagi tindakan drastik PFA yang sebelum itu pada 27 Disember lalu memfailkan saman bagi mencabar keputusan penggantungan keahlian persatuan itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Disember lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top