am@hmetro.com.my
Putrajaya: Warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat untuk bekerja di negara ini akan digempur pihak berkuasa.
Ia adalah sebagai tindakan proaktif kerajaan bagi menangani perbuatan berkenaan yang dibangkitkan pelbagai pihak termasuk komuniti perniagaan.
Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara perbincangan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pada hari ini kita membincangkan beberapa masalah dibangkitkan oleh komuniti perniagaan dan beberapa pihak yang lain mengenai keberadaan warga asing yang menyalahgunakan visa sebagai pelawat untuk bekerja di Malaysia dalam beberapa sektor terutamanya.
“Dan hal ini, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan visa untuk bekerja.
“Tindakan susulan akan diambil oleh badan penguatkuasaan dan pemantauan akan dibuat oleh pihak Kementerian Dalam Negeri,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut memaklumkan Jemaah Kabinet pada minggu lalu membuat keputusan dasar untuk meminda Akta Perhimpunan Aman susulan kes membabitkan bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abd Hadi.
“Pada hari ini Jemaah Menteri memutuskan maklumat disampaikan kepada Peguam Negara, Jabatan Peguam Negara untuk membincangkannya.
“Ini kerana kerajaan dan Jemaah Menteri bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman, maka apakah wajar untuk diteruskan dengan semakan kehakiman terhadap keputusan yang telah dibuat dalam kes Amir Hariri Hadi ini,” katanya.
Pada 8 Ogos lalu, media melaporkan bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abd Hadi dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai penganjuran satu perhimpunan, #ManaKapalLCS pada 2022.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan pada 5 Ogos.
Amir Hariri yang juga Pengarah Eksekutif Mandiri, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika disabitkan kesalahan.
Beliau didakwa pada 2022 mengikut Seksyen 9(5) Akta tersebut kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa berhubung penganjuran perhimpunan #ManaKapalLCS, lima hari sebelum ia berlangsung pada 14 Ogos 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd




