Kuala Lumpur: Pas mahu tindakan tegas yang diambil terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dibuat secara cermat dan teliti supaya tidak menghukum pihak yang tidak bersalah.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bagi memastikan tidak berlakunya pengabaian hak, ketidakadilan, dwistandard atau tindakan yang berlebihan-lebihan.
Menurutnya, Pas menyokong penuh tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang didapati bersalah.
“Bagaimanapun, keghairahan untuk menghukum mereka tidak seharusnya memberi kesan buruk ke atas kumpulan itu secara keseluruhan, terutama sekali ahli-ahlinya yang tidak bersalah atau aspek aktiviti GISBH yang sah, patuh undang-undang dan bermanfaat.
“Dalam hal ini, Pas percaya sisi-sisi positif kumpulan ini, termasuk jaringan perniagaannya yang luas, hendaklah dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru dan tidak adil yang mungkin berpunca daripada sentimen melulu, prasangka, persaingan perniagaan atau agenda politik tertentu pihak yang mahu menangguk di air keruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Pas mengikuti rapat perkembangan siasatan terhadap GISBH.
“Pas mengalu-alukan siasatan yang telus, terperinci dan profesional ke atas pelbagai dakwaan terhadap GISBH mengikut undang-undang yang sesuai, sama ada membabitkan aspek kepercayaan dan pegangan keagamaan, mahupun isu-isu lain seperti amalan perniagaan, salah laku seksual, penganiayaan, perbuatan jenayah dan sebagainya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




