Tindakan Tengku Zafrul keluar Umno perlu dibincang Kerajaan Perpaduan – Rafizi

Tindakan Tengku Zafrul keluar Umno perlu dibincang Kerajaan Perpaduan – Rafizi

saadiah_ismail@bh.com.my

Ampang: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar Umno dan memohon menyertai PKR mampu membuka ‘pintu’ yang sukar dijangka pada masa hadapan oleh Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, ketika Kerajaan Perpaduan dibentuk, tidak ada draf atau muktamad di dalam perjanjian yang menyatakan boleh ambil ahli daripada parti lain.

“Jadi bila perkara ini berlaku, saya rasa pandangan atau kritikan Umno adalah munasabah dan perlu diambil kira keseluruhan pimpinan di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pandangan Umno itu adalah dari perspektif untuk mengekalkan keharmonian sesama parti.

“Jadi saya rasa, perkara ini akhirnya akan dibincangkan di peringkat Kerajaan Perpaduan kerana perkara ini adalah sesuatu yang belum dimuktamadkan,” katanya ketika merasmikan penutup Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan Umno memandang serius niat peletakan jawatan yang dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menerusi hantaran di Facebook, Jumaat lalu.

Katanya, amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.

Sementara itu, ditanya jika Rafizi ada menerima tawaran untuk menyertai parti lain, beliau menegaskan tidak berminat untuk menyertainya.

“Saya tak baca sebarang mesej di telefon dan tiada aplikasi WhatsApp. Semua pimpinan parti tahu perkara ini.

“Malah, Nurul Izzah Anwar juga pernah berjumpa saya dan nak tawarkan Timbalan Presiden lantikan, namun saya tidak berminat dalam apa-apa juga jawatan.

“Ini bukan soal jawatan, tetapi mesej dan perjuangan yang kita nak bawa,” katanya.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dan sedang bercuti sehingga 16 Jun ini, berkata beliau akan kekal sebagai Ahli Parlimen kerana ini adalah mandat daripada rakyat dan keputusan rakyat itu perlu dihormati.

“Sama juga pembabitan dalam parti kerana yang memberi mandat adalah Cabang Pandan, jadi saya perlu hormati dua mandat itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top