Tinggal guni berisi ganja sekitar laluan keselamatan

Tinggal guni berisi ganja sekitar laluan keselamatan

am@hmetro.com.my

Padang Besar: Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup masuk dadah susulan penemuan satu bungkusan guni berisi ganja seberat enam kilogram bernilai RM180,000 berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, di sini, pada Rabu lalu.

Rampasan dilakukan anggota Kompeni C Batalion 18 PGA Pangkalan Hulu dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis selepas mengesan pergerakan beberapa individu mencurigakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dadah itu dipercayai cuba dibawa masuk dari Thailand melalui ‘lorong tikus’ di laluan keselamatan.

“Anggota PGA ternampak beberapa individu mencurigakan cuba membawa masuk satu guni ke kawasan negara ini menerusi pagar keselamatan sebelum meninggalkannya.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemui guni berisi dedaun kering disyaki ganja seberat enam kilogram berhampiran tembok keselamatan.

“Tiada tangkapan dibuat dan risikan sedang dijalankan bagi mengesan sindiket yang terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM180,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top