am@hmetro.com.my
PELAKON, Hanna Aqeela, 35, tidak lagi mengejar glamour dan populariti selepas lebih sedekad membabitkan diri dalam bidang lakonan.
Hanna berkata, dia juga tidak kisah jika dianggap tidak popular asalkan tawaran berlakon masih diterima sampai sekarang.
“Alhamdulillah, saya masih dapat kepercayaan penerbit dan pengarah drama setiap bulan.
“Saya tidak popular. Mungkin sebab nama saya tidak pernah terpalit kontroversi. Selalunya, saya tidak pernah rehat lama di rumah, satu atau dua minggu bercuti selepas itu kembali semula ke lokasi penggambaran.
“Selepas penggambaran telefilem Aplikasi Cinta, saya akan ke lokasi penggambaran drama bersiri yang menggandingkan Scha Ellina dan Syarul Ezani minggu depan,” katanya ketika ditemui di program cita rasa dari dapur Binjai sempena promosi berbuka puasa di Perdana Kuala Lumpur City Centre di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Besar, Perdana Kuala Lumpur City Centre, Zakaria Ismail dan pelakon, Mustaqim Bahadon.
Hanna berkata, dia juga banyak ditawarkan watak pembantu dalam lakonan ketika ini.
“Saya tidak kisah ditawarkan watak pembantu kerana sudah banyak kali diberi kepercayaan bawa watak utama sebelum ini,” katanya yang mahu lebih banyak berlakon filem tahun ini.
Dalam pada itu, Hanna berkata, sebagai selebriti, dia juga gembira kerana dapat memeriahkan program cita rasa dari dapur Binjai itu.
Promosi bufet Ramadan citarasa Dari Dapur Binjai bermula dari 5 hingga 29 Mac ini di Restoran 10Binjai.
Bufet itu menawarkan lebih hidangan sajian autentik dari Timur Tengah hinggalah hidangan tradisional tempatan serta antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd