Tinggalkan seragam TLDM demi jaga anak syurga

Tinggalkan seragam TLDM demi jaga anak syurga

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya terima apa yang Allah SWT nak bagi dekat Iqi dan ingat kata doktor yang Allah SWT uji saya sebab nak saya rasa nikmat jadi bapa”.

Itu kata Mohd Fadli Samad, 40, yang sanggup bersara awal selepas 21 tahun berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) demi menjaga anak syurganya, Muhammad Emir Rizqi Mohd Fadli, 9, atau nama manjanya Iqi yang disahkan Cerebral Palsy akibat mengalami komplikasi waktu dilahirkan.

Mohd Fadli menamatkan perkhidmatannya pada 17 Jun tahun lalu dan sejak itu, dia menghabiskan masanya dengan menjaga serta menguruskan Iqi yang juga anak tunggalnya.

Berkongsi pengalamannya, Mohd Fadli berkata, berat untuknya mengambil keputusan untuk berhenti selepas lebih dua dekad menjadi penjawat awam namun itu pengorbanan perlu dilakukan kerana tiada siapa boleh menjaga anaknya.

Ia kerana isterinya, Wani Mastura Hashim,41, perlu bekerja dan mempunyai masalah kesihatan akibat cakera tulang belakang teranjak atau tergelincir (slipped disc) menyebabkan agak sukar untuknya menguruskan Iqi di rumah seorang diri.

“Nak berhenti kerja itu keputusan yang sukar tapi amanah perlu saya galas adalah menjaga Iqi sebab itu kena korbankan kerjaya.

“Nampak hasilnya… Subhanallah sangat luar biasa kerana nampak perkembangan Iqi yang sekarang sudah boleh bergerak dengan bantuan ‘walker’ (alat bantu bergerak) berbanding dulu.

“Lagipun waktu dalam perkhidmatan, saya kurang masa dengan dia jadi ini perancangan Allah SWT yang terbaik untuk saya dan sekarang berasa lebih tenang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), dekat sini.

Mohd Fadli berkata, rutin hariannya adalah menguruskan Iqi kemudian menghantar anaknya ke sekolah di Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan dekat Petaling Jaya, Selangor pada setiap Isnin, Rabu dan Khamis manakala Selasa untuk kelas berkuda.

Katanya, tugas itu diambil alih isteri selepas pulang dari tempat kerja namun tidak semua mengerti dan memahami kerana ada segelintir beranggapan dia yang sepatutnya bekerja, bukan pasangannya.

Katanya, ada juga kata sinis diterima daripada mereka yang menuduh dia bergantung sepenuhnya dengan isteri sejak tidak bekerja walaupun ada menerima pencen.

“Memang ada yang tanya kenapa saya dan bukan isteri yang berhenti kerja. Tapi apa pun, salah seorang daripada kami perlu berkorban.

“Jadi saya ambil tanggungjawab itu tapi saya berasa beruntung kerana ada sistem sokongan yang kuat.

“Bohong kalau cakap tak sedih tapi bila bercampur dengan persatuan (anak istimewa), saya cuba ganti ujian itu sebagai nikmat dan berubah bukan sebab dia (anak) tapi kerana saya penjaganya,” katanya.

Mohd Fadli berkata, dia tidak menaruh harapan tinggi tapi memadai melihat anaknya boleh menguruskan diri satu hari nanti walaupun pernah diramalkan doktor akan terlantar seumur hidup.

“Tak mengharap anak baca ABC atau mengira satu dua tiga tapi nak Iqi berdikari.

“Saya pun tak fikir siapa pergi dulu kerana yakin kalau saya yang ditakdirkan pergi dulu pun, ada orang menjaganya,” katanya yang turut aktif sebagai sukarelawan anak istimewa.

Sementara itu, isterinya, Wani Mastura yang bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bersyukur kerana suaminya sanggup berkorban dan mengambil tanggungjawab menjaga Iqi di rumah ketika dia bekerja.

Bagi Wani Mastura, ia bukan tugas yang mudah namun suaminya mampu lakukan kerana ada sifat penyayang dan empati tinggi terhadap anak istimewa.

“Sebelum ambil keputusan berhenti, suami dan saya berbincang serta fikirkan apa yang terbaik.

“Kami buat keputusan itu kerana sebelum ini saya ada ‘slipped disc’, kemurungan dan ‘anxiety’ (kegelisahan dan kebimbangan) selepas dapat tahu anak istimewa.

“Syukur asa saja rezeki kami anak syurga walaupun saya sana bekerja dan suami bergantung dengan pencen. Hidup kami tak mewah tapi tak putus makan dan ada saja rezeki,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HRC, Dr Faizul Nizam Abu Salim berkata, berharap Mohd Fadli dan isteri terus tabah membesarkan Iqi.

“Perjalanan mereka (sebagai ibu bapa anak syurga) memberi inspirasi buat kami dan ketabahan itu diharap berterusan.

“Ibu bapa anak istimewa di luar sana juga boleh dapatkan bantuan diperlukan dan rawatan di sini kerana hospital ini ditubuhkan untuk manfaat rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top