Tingkatkan reputasi dengan sokongan industri

Tingkatkan reputasi dengan sokongan industri

suliati@hmetro.com.my

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berjaya mengumpulkan endowmen dengan nilai RM87 juta hasil sumbangan pihak industri, komuniti dan alumni ke arah kelestarian kewangan yang mampan.

Ia bagi memperkasa kualiti dan penghasilan penyelidikan berimpak dalam melonjakkan reputasi universiti di persada global.

Terdapat lima endowmen merangkumi Endowmen Kepengerusian yang menerajui kepakaran bagi kursi penyelidikan khusus dalam bidang-bidang penting yang berimpak tinggi.

Endowmen Penyelidikan hasil penyelidikan yang memacu kemajuan negara untuk menyelesaikan keperluan industri melalui kepakaran akademia.

Lain-lain adalah Endowmen Biasiswa, Kebajikan dan Kebajikan Pelajar, Endowmen Komuniti dan Endowmen Alumni.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias, berkata sokongan rakan industri melalui endowmen ini amat penting dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi UMPSA sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju di rantau ASEAN.

Menurutnya, majlis ini adalah bukti nyata dan manifestasi penghargaan UMPSA kepada semua rakan strategik industri yang sentiasa memberi sokongan sejak 23 tahun yang lalu.

“Kolaborasi yang terjalin dengan lebih 800 industri ini adalah komitmen bersama terhadap masa depan pendidikan tinggi dan industri negara.

“Kami juga berterima kasih kepada semua rakan industri atas sumbangan kerjasama yang membuka ruang perkongsian kepakaran serta penjanaan penyelesaian kepada permasalahan sebenar di lapangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Teh Tuanku Canselor UMPSA, baru-baru ini.

Canselor UMPSA Sultan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berangkat ke majlis berkenaan bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Sri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak mewakili Menteri Besar Pahang dan Pro Canselor Tan Sri Datuk Sri (Dr) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melancarkan Endowmen Tuanku Canselor bagi menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan kebajikan untuk kecemerlangan universiti serta menyaksikan penyampaian cek cura kepada Dr Yatimah.

Cek bernilai RM50 juta itu disampaikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Aerospace City (PACDB), Prof Muhamad Nurazmi Abas dan Pengarah Urusan, Kintsugi (K2), Sean Teoh.

Kintsugi (K2) adalah syarikat milik kerajaan Abu Dhabi yang memfokuskan dalam sistem autonomous termaju dan teknologi dipacu kecerdasan buatan (AI) dengan kerjasama Pahang Aerospace City (PACDB).

Kolaborasi ini memberi impak terhadap usaha membangunkan Pahang Aerospace City melalui syarikat pemacu utama, PACDB dalam merealisasikan hasrat kerajaan Pahang sebagai hab serantau pertama menggabungkan penerbangan, aeroangkasa, angkasa lepas serta teknologi digital masa hadapan.

Pada masa sama, UMPSA bakal menubuhkan Venture Studio pertama yang bakal menjadi pusat inovasi dan pengkomersialan untuk melahirkan syarikat pemula dalam bidang AI, sistem autonomous serta teknologi mobiliti.

Inisiatif ini disokong dengan endowmen daripada PACDB dan rakan strategik, demi memperkasa bakat tempatan serta menyediakan laluan penyelidikan dan pembangunan yang berimpak tinggi.

Majlis turut menyaksikan sumbangan pihak Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd sebagai rakan kolaborasi industri dalam projek Electric Smart Light Rail Transit (eSLRT) di Kampus Pekan.

Pihak MRL menyumbang secara in-kind berupa 10 kilometer landasan ECRL terpakai dengan nilai RM19 juta untuk kegunaan ujian prototaip dan demonstrasi sistem eSLRT di dalam kampus.

Lebih 200 termasuk tetamu industri daripada 49 syarikat antarabangsa, GLC dan tempatan hasil kolaborasi dan penyumbang kepada endowmen universiti hadir bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan impak komuniti-universiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top