KUALA LUMPUR – Hasil tinjauan pendapat yang dikeluarkan Merdeka Center membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mendapat keyakinan majoriti rakyat dan wajar diberi peluang untuk meneruskan khidmat sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SekPur), Shahbudin Embun berkata, dapatan tinjauan itu menunjukkan rakyat terus memberikan sokongan terhadap kepimpinan Anwar serta dasar yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, sokongan tersebut membuktikan majoriti rakyat menghargai usaha kerajaan dalam memperkukuh perpaduan nasional, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memulihkan keyakinan pelabur terhadap negara.
“Saya percaya rakyat semakin yakin dengan prestasi Anwar sepanjang hampir empat tahun mentadbir negara kerana beliau berjaya mengekalkan keharmonian kaum, membawa masuk pelaburan asing bernilai berbilion ringgit, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta menyumbang kepada pengukuhan prestasi ringgit.
“Justeru, dengan rekod pentadbiran sejak 2022, Anwar wajar dipertimbangkan untuk meneruskan khidmat bagi penggal kedua sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut tinjauan Merdeka Center, Anwar terus mendahului senarai pemimpin politik negara dengan kadar sokongan sebanyak 52 peratus, manakala 42 peratus responden berpandangan Malaysia kini berada di landasan yang betul.
Dalam tinjauan sama, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berada di kedudukan kedua dengan kadar sokongan sebanyak 50 peratus.
Bagi pemimpin pembangkang pula, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencatat kadar sokongan 36 peratus, mengatasi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memperoleh 28 peratus.
Mengulas lanjut, Shahbudin berkata, Anwar mempunyai laluan yang realistik untuk memperoleh mandat bagi penggal kedua berdasarkan beberapa faktor utama.
Katanya, Kerajaan Perpaduan berjaya mewujudkan kestabilan politik selepas negara berdepan ketidaktentuan sejak beberapa tahun lalu, selain kestabilan tersebut kekal menjadi antara pertimbangan utama pengundi.
Beliau berkata, usaha pembaharuan ekonomi kerajaan termasuk menarik pelaburan asing, memperkukuh disiplin fiskal dan meningkatkan tadbir urus turut mula menunjukkan hasil yang positif.
“Walaupun masih terdapat pelbagai cabaran, terdapat petunjuk yang jelas bahawa negara sedang bergerak ke arah yang lebih stabil.
“Anwar juga terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kepimpinan beliau telah meningkatkan profil diplomatik Malaysia serta keyakinan pelabur, sekali gus menyumbang kepada prospek jangka panjang negara,” katanya.
Tambah beliau, sejarah membuktikan penyandang yang mampu mengekalkan kestabilan ekonomi, memelihara perpaduan politik dan meneruskan agenda pembaharuan lazimnya memasuki pilihan raya daripada kedudukan yang lebih kukuh.



