Tip bahagia pasangan PJJ

Tip bahagia pasangan PJJ

hafizithnin@mediaprima.com.my

Perhubungan jarak jauh atau digelar ‘PJJ’ dalam kehidupan rumah tangga bukanlah sesuatu yang baharu di dalam masyarakat. Apatah lagi ia berlaku kerana tuntutan kerja.

Meskipun sudah berumah tangga dan berlaku PJJ, situasi itu sebenarnya bukanlah satu penghalang untuk mengeratkan hubungan bersama pasangan tercinta dan juga anak-anak.

Justeru, dalam Wanita Metro (WM) kali ini, kami ingin kongsikan beberapa tip yang boleh dipraktikkan untuk pasangan yang sudah berkahwin dan perlu berada dalam situasi PJJ.

1. Fahami situasi

Ia adalah perkara paling penting sekali bagi pasangan memahaminya.

Tanggungjawab selepas mendirikan rumah tangga sememangnya cukup besar bukan sekadar zahir malah turut membabitkan emosi pasangan.

Pastikan anda dan pasangan memahami situasi mengapa perlu PJJ selepas berkahwin supaya kedua-duanya dapat memberi sokongan emosi dan zahir yang baik ketika berada berjauhan.

Umpamanya PJJ yang disebabkan kerjaya. Jadi, kedua-dua belah pihak perlu memahami situasi itu untuk membolehkan mereka mempunyai ekonomi keluarga yang stabil.

2. Kepercayaan

Isu kepercayaan adalah perkara yang tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia boleh menimbulkan kesangsian dalam hubungan rumah tangga. Justeru, apabila anda berada di dalam situasi PJJ, cipta kepercayaan yang baik bersama pasangan.

Apabila kepercayaan yang utuh sudah ada, pastinya segala masalah dapat ditangani dengan mudah. Namun, jangan sesekali memusnahkan kepercayaan yang sudah diberikan kerana manusia boleh memaafkan tetapi untuk melupakan adalah perkara yang amat sukar.

Kepercayaan ini termasuk kesetiaan dengan pasangan kerana perkara ini antara yang boleh menggugat keharmonian hubungan rumah tangga yang sudah dibina.

3. Bertanggungjawab

Meskipun anda dan pasangan berada di dalam situasi PJJ, tanggungjawab sebagai pasangan yang sudah berkahwin jangan diabaikan. Antaranya perlu sentiasa bertanya khabar dan bertindak dengan segera apabila diperlukan.

Apatah lagi, jika pasangan itu sudah mempunyai anak-anak, pastikan suami atau isteri yang menjaga anak-anak perlu diberikan perhatian yang lebih khusus kerana mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar.

Sentiasa berkomunikasi dan bertanyakan keadaan harian yang dihadapi pasangan supaya kedua-dua belah pihak dapat menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya sebagai ibu dan bapa.

4. Meraikan

Elemen ini jangan pernah dilupakan kerana ia mampu memberikan kehangatan di dalam keluarga yang berada di dalam situasi PJJ.

Antara yang boleh dilakukan bercuti dan memanfaatkan masa dengan pasangan serta anak-anak.

Ketika percutian anda dan pasangan boleh berbincang secara rasional mengenai hubungan dan merancang untuk memberikan yang terbaik.

Jadikan elemen meraikan hubungan ini sebagai satu kemestian meskipun suami atau isteri sentiasa sibuk dengan komitmen masing-masing.

Kadang-kala meraikan itu tidak semestinya memerlukan anda berada secara fizikal tetapi dengan memberikan hadiah atau mengucapkan kata-kata positif juga boleh menjadi elemen yang meraikan hubungan pasangan PJJ.

5. Komunikasi

Pada masa kini komunikasi bukan satu halangan melainkan pasangan anda berada di kawasan yang tiada liputan internet.

Pastikan anda dan pasangan kerap berko

munikasi sama ada menerusi audio, teks atau membuat panggilan video.

Komunikasi yang kerap mampu memberikan sokongan emosi kepada pasangan dan anak-anak yang berada jauh dengan anda.

Walaupun sudah tiada perbincangan serius untuk dibualkan tetapi berbual kosong sebenarnya boleh menjadikan pasangan merasai kehadiran anda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top