am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kegiatan penipuan dalam talian khususnya membabitkan urusan jual beli kenderaan semakin membimbangkan apabila mencatatkan kerugian mencecah lebih RM14.6 juta dalam tempoh kurang tiga bulan.
Bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuka sebanyak 290 kertas siasatan berkaitan kes penipuan dengan 214 daripadanya adalah kes penipuan atas talian membabitkan kerugian RM11.12 juta.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 46 kes membabitkan penipuan pembelian e-dagang kenderaan dengan nilai kerugian RM328,888.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan menyalin iklan jualan kenderaan milik individu sebenar yang dipaparkan di media sosial seperti Facebook dan Mudah.my sebelum menawarkan harga jauh lebih murah bagi menarik minat mangsa.
“Apabila mangsa berminat, suspek akan berunding harga dan mengarahkan mangsa pergi ke alamat pemilik asal untuk melihat kenderaan itu.
“Dalam masa sama, suspek juga akan berurusan dengan pemilik sebenar dengan alasan mahu membeli dan menghantar wakil untuk melihat keadaan kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, selepas mangsa berpuas hati dan bersetuju, sindiket akan meminta bayaran dibuat terlebih dahulu sebelum kenderaan diserahkan.
“Namun selepas bayaran dibuat, pemilik sebenar enggan menyerahkan kenderaan kerana tidak menerima sebarang bayaran, manakala sindiket pula menghilangkan diri serta menyekat semua panggilan mangsa.
“Siasatan mendapati sindiket bertindak sebagai orang tengah dan tidak pernah bersemuka dengan mangsa atau pemilik kenderaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah di media sosial serta membuat semakan terlebih dahulu terhadap pemilik kenderaan sebelum melakukan sebarang urus niaga.
Dalam pada itu, orang ramai turut diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam urusan tempahan homestay yang diiklankan secara dalam talian terutama menjelang musim cuti sekolah dan perayaan.
“Orang awam perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Kami memohon orang ramai sentiasa berwaspada terhadap penipuan ‘scammer’ dalam talian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




