Titah Adendum: Keputusan semakan kehakiman 5 Januari

Titah Adendum: Keputusan semakan kehakiman 5 Januari

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menetapkan 5 Januari tahun depan untuk keputusan permohonan semakan kehakiman difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak yang memohon suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum itu dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib juga memohon perintah bahawa jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur dengan serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku pemohon, serta Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak kerajaan dan enam lagi yang dinamakan sebagai responden.

“Saya rasa saya patut mengambil cuti Krismas untuk berfikir dan mempertimbangkannya dengan lebih mendalam,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah, mereka sudah lebih daripada membuktikan kepada mahkamah bahawa Titah Adendum itu adalah sah dan ia benar-benar wujud.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara mempunyai “sejarah penafian” berhubung titah berkenaan sejak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman lagi, dan mereka sepatutnya diperintahkan untuk menyerahkan satu salinannya.

“Sudah lebih setahun (sejak Titah Adendum itu dikeluarkan), dan iamasih tidak dikuatkuasakan. Anak guam saya sepatutnya berada di bawah tahanan rumah sekarang. Keadilan sudah selesai, kini yang tinggal hanyalah belas kasihan,” katanya.

Sementara itu, Shamsul menegaskan, titah itu tidak dibangkitkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023 dan buktimenunjukkan ia tidak dibuat selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (kuasa pengampunan).

Shamsul dalam hujahannya berkata, Minit Mesyuarat lembaga itu menunjukkan hanya satu keputusan dibuat, iaitu pengurangan hukuman sebanyak 50 peratus oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Beliau berkata, kandungan titah bertarikh 29 Januari 2024, seperti dilampirkan dalam eksibit adidavit anak Najib, Datuk Mohamad Nizar tidak dibincangkan ketika mesyuarat dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

“Berdasarkan Perkara 42(1) dibaca bersama Perkara 42(8), apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai permohonan pengampunan di Wilayah Persekutuan mesti ditentukan baginda melalui Lembaga Pengampunan dalam satu mesyuarat dipengerusikan baginda.

“Pada penghujung mesyuarat Lembaga Pengampunan, Sekretariat Lembaga Pengampunan akan menyediakan perintah untuk kelulusan Yang di-Pertuan Agong dan Menteri Wilayah Persekutuan. Dalam hal ini, pelaksanaan tahanan rumah seperti dinyatakan dalam Titah Adendum tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61.

“Oleh itu, jika tahanan rumah terhadap pemohon (Najib) memang dimaksudkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, keputusan sedemikian sepatutnya dibincang dan diselesaikan dalam satu mesyuarat Lembaga Pengampunan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong ke-16, selaras prosedur ditetapkan di bawah Perkara 42(8),” katanya.

Shamsul berkata, oleh kerana titah itu tidak diputuskan dalam mesyuarat lembaga dan pengeluarannya di luar kerangka prosedur yang dikehendaki, menimbulkan persoalan mengenai kesahihannya.

Disebabkan itu,Shamsul berkata Lembaga Pengampunan tidak dapat memberikan nasihat yang diwajibkan di bawah Perkara 42(9).

Menurut Shamsul, Titah Adendum tidak dikeluarkan mengikut kerangka prosedur yang betul seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 42(1) dibaca bersama Perkara 42(8) dan Perkara 42(9), dan oleh itu ia tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang.

“Dalam keadaan ini, apa-apa keputusan yang telah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut maksud Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan termasuk keputusan pengurangan 50 peratus tidak boleh dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top