TKY B juara sepak takraw Terbuka Besut 2026

TKY B juara sepak takraw Terbuka Besut 2026

sukan@hmetro.com.my

Besut: Pasukan TKY B dinobatkan selaku juara Kejohanan Sepak Antara Regu Terbuka Besut 2026 selepas menewaskan FZR C di Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja, malam tadi.

Kedua-dua pasukan itu bertarung 50 minit sebelum TKY B yang dibarisi Ikmal Hakimi (tekong), Hakimi Rosdi (apit kanan) dan Saiful Bajuri (apit kiri) mencatatkan keputusan 15-11 dan 15-11, sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000.

FZR C meraih RM2,500 selaku naib juara, sementara FZR A meraih RM1,000 di tempat ketiga.

Pengurus pasukan TKY B, Nik Khairin Amsyar Rohaizad berkata, mereka tidak menyangka akan muncul juara selepas melalui beberapa pertarungan sengit antara pasukan bertanding.

“Ini adalah kemenangan kedua bagi pasukan kami selepas awal tahun lalu muncul juara kejohanan sepak takraw terbuka di Melaka.

“Kami sering menyertai kejohanan untuk melatih serta membiasakan pemain dengan corak sebenar pertandingan, sekali gus mencungkil bakat pelapis yang boleh mewakili negara kelak,” katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Besut, Yusof Mat Nor. Hadir sama, Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Tengku Zaihan yang juga Naib Presiden 1 Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tertarik apabila kejohanan itu menarik penyertaan 40 pasukan termasuk dari luar Terengganu seperti Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Penonton berpeluang melihat ramai pemain berpengalaman serta bekas pemain sepak takraw negara turut beraksi.

“Walaupun persiapan agak singkat, kerjasama penganjur dan penaja menunjukkan kejayaan cemerlang dan kami berhasrat mahu jadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top