
Tunku Mahkota Ismail bersalam dengan pemain Harimau Malaya. FOTO: MALAYSIA NT
KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan turun padang menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai tanda sokongan menjelang perlawanan menentang Vietnam dalam saingan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.
Kehadiran Tunku Mahkota Ismail nyata menyuntik semangat juang dalam kalangan pemain ketika mereka menjalani persiapan akhir di bawah bimbingan ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Menerusi perkongsian di laman rasmi Malaysia NT, Tunku Mahkota Ismail turut bertanya khabar dan berinteraksi bersama para pemain Harimau Malaya yang bakal berdepan Golden Star Warriors bimbingan Kim Sang-sik.
Malaysia memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan apabila menewaskan Nepal 2-0 pada 26 Mac lalu dalam perlawanan sulung yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Pemain warisan, Hector Hevel muncul wira apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-30 hasil rembatan padu dari luar kotak penalti yang terbias, menewaskan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu.
Pemain pertahanan kiri, La’Vere Corbin Ong kemudian menggandakan kelebihan Harimau Malaya menerusi jaringan kedua pada minit ke-70, sekali gus mengesahkan kemenangan penuh bergaya.
Kejayaan itu meletakkan skuad negara di tangga kedua Kumpulan F di belakang Vietnam, yang ketika itu mendahului carta berdasarkan perbezaan jaringan selepas membelasah Laos 5-0 di Stadium Go Dau.
Perlawanan menentang Vietnam dijangka menjadi ujian sebenar buat anak buah Cklamovski yang kini dalam misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.