TMJ ‘belanja’ penyokong JDT

Johor Bharu: Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi hadiah istimewa kepada penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mengumumkan akan ‘menanggung’ sebahagian daripada harga jersi baharu Harimau Selatan yang bakal dilancarkan hari ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik JDT berkata, hadiah istimewa itu diberikan sempena ulang tahun pertama Stadium Sultan Ibrahim, selain tanda penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bagi penyokong.

Katanya, harga jersi home dan away musim 2021 serta jumlah ‘diskaun’ istimewa yang akan diberikan bakal diumumkan dalam majlis pelancaran yang dilakukan pada pukul 5.45 petang ini.

Utusan Malaysia difahamkan, Tunku Ismail mungkin akan ‘menaja’ sebahagian daripada harga jersi away JDT yang dikeluarkan oleh jenama sukan antarabangsa Nike.

Kemungkinan, jersi kali ini juga ditawarkan pada harga sama seperti tahun lalu iaitu RM185 sehelai.

Musim lalu, JDT melakar sejarah apabila 7,000 jersi terjual, sekali gus membolehkan mereka menikmati RM1.29 juta hasil penjualan.

Berita Tunku Ismail mahu menanggung sebahagian harga jersi JDT disambut baik oleh penyokong yang rata-rata tidak sabar untuk menunggu hari pelancaran.

“Alhamdullilah ..Terbaik TMJ Luaskan kuasamu Johor,” tulis pemilik akaun Asri Coo dalam Facebook Johor Southern Tigers.

“Thank You Tunku. Keprihatinan dan kemurahan hati Tunku hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya.. kepada ponyokong JDT marilah bersama-sama support serta membeli jersi yang original demi pasukan kita,” kata Az Rizzam.

“Kalau ikutkan harga jersi original Nike lebih kurang RM300 tapi jersi JDT kurang dari RM200,” tulis Sarifuddin Hasani.

JDT yang memegang reputasi selaku juara Liga Super tujuh musim berturut-turut akan merasmikan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan menentang Kedah dalam aksi Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 5 Mac.-Utusan

Malay News
Sports Desk