mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bola sepak negara kini diancam unsur sabotaj?
Persoalan terbabit timbul apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkongsi satu tangkap layar laporan portal sukan yang mendakwa wujud entiti luar cuba mensabotaj projek kebangkitan Harimau Malaya.
Perkongsian itu dimuat naik menerusi Instagram Story baginda, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kewujudan pihak tertentu yang dikatakan berusaha menggagalkan usaha memperkukuh skuad kebangsaan.
Menurut laporan portal berkenaan, terdapat entiti dari luar negara yang didakwa kurang senang melihat kebangkitan skuad negara dan didakwa memiliki hubungan rapat dengan pucuk kepimpinan tertinggi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Walaupun Tunku Mahkota Ismail tidak menamakan mana-mana pihak, tindakan baginda memuat naik laporan itu seolah-olah memberi bayangan bahawa dakwaan itu mempunyai asas.
Tunku Mahkota Ismail yang juga arkitek utama revolusi bola sepak negara menjadi penggerak utama dalam pembaharuan skuad Harimau Malaya sejak awal tahun ini dengan menekankan aspek profesionalisme, kepakaran luar negara dan penambahan pemain warisan.
Hasilnya, skuad kebangsaan mula menunjukkan impak positif apabila memimpin Kumpulan F Kelayakan Piala Asia dengan dua kemenangan awal, termasuk menamatkan kemarau 11 tahun mengatasi Vietnam.
Rentak cemerlang itu turut diteruskan dalam aksi persahabatan antarabangsa apabila Malaysia berjaya menewaskan Palestin, pasukan yang berada di ranking lebih tinggi.
Perkongsian TMJ itu pantas menarik perhatian penyokong setia bola sepak negara yang menganggap ia sebagai amaran terhadap sebarang cubaan pihak luar yang mahu merencatkan kebangkitan Harimau Malaya.
Mengikut rekod, revolusi yang diterajui Tunku Mahkota Ismail kini dianggap tonggak penting dalam usaha Malaysia kembali bersaing di pentas Asia, sekali gus menjadikan dakwaan sabotaj ini sesuatu yang perlu dipandang serius oleh pihak berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



