TNB barakan liga hoki PHKL-DBKL

TNB barakan liga hoki PHKL-DBKL

Vikneswaran (duduk, dua dari kanan) bersama barisan Exco PHKL dan wakil pengurusan DBKL, Shamsulbahri Salasim pada Sidang Media Liga Hoki KL 2023 di Stadium Hoki Kuala Lumpur pada Rabu.

KEHADIRAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai penaja memeriahkan lagi saingan Liga Hoki Terbuka Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL)- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), I Vikneswaran berkata, liga terbuka yang akan dikenali sebagai TNB-PHKL-DBKL tahun ini akan mempertandingkan beberapa kategori sekali gus menarik minat masyarakat terhadap sukan hoki.

“Liga TNB-PHKL-DBKL akan berlangsung sehingga penghujung tahun 2023 dengan peringkat yang berbeza. Acara yang sedang berlangsung ialah liga terbuka.

“Kami juga akan mengadakan acara untuk umur 35 tahun, 50 tahun dan 60 tahun keatas. Liga wanita dan acara pembangunan yang berbeza untuk kumpulan umur yang lebih muda juga akan diadakan sebagai persediaan untuk peringkat bawah 14 tahun dan 16 tahun kebangsaan,” katanya pada Rabu.

Dalam masa sama, Vikneswaran turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah yang terus setia memberikan sokongan kepada penganjuran pelbagai aktiviti sukan.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah penaung PHKL apabila sukan diberi tempat yang istimewa kerana ia bukan sahaja membangunkan bakat tetapi untuk membina sahsiah dan memupuk gaya hidup positif dalam masyarakat yang berbilang budaya.

“Dengan perjalanan positif liga yang meriah di Kuala Lumpur, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal telah memberikan sokongan penuh terhadap usaha yang diambil oleh PHKL, DBKL dan TNB untuk melihat sukan ini terus berkembang,” katanya.