TNB Kekal Cemerlang Dalam Operasi, Teguh Dalam Tanggungjawab Sosial | Oh! Negara – Oh! Media

TNB Kekal Cemerlang Dalam Operasi, Teguh Dalam Tanggungjawab Sosial | Oh! Negara – Oh! Media

Seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab digital serantau, TNB terus menyokong infrastruktur penting bagi sektor ini.

Setakat suku pertama 2025, TNB telah menyalurkan bekalan tenaga kepada 21 pusat data dan memeterai 43 perjanjian bekalan dengan jumlah kapasiti sebanyak 6.4GW, mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama transformasi digital dan perindustrian negara.

Selain itu, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar US daripada RM4.73 pada Mac 2024 kepada RM4.44 pada Mac 2025 turut membantu mengurangkan tekanan ke atas kos bahan api dan perbelanjaan modal serta memberi impak positif kepada kadar pertukaran asing, mengukuhkan lagi kedudukan kewangan TNB.

“Fokus TNB adalah untuk mengekalkan prestasi stabil, pada masa sama mencipta nilai jangka panjang kepada para pemegang saham.

Melalui pengurusan kos berhemah, penyampaian perkhidmatan dijamin dan komitmen jelas terhadap pembangunan negara, kami terus menawarkan nilai yang konsisten walaupun berdepan cabaran global berterusan,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Komitmen Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa

Seiring dengan usaha domestik, TNB turut mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa menerusi pembangunan projek solar hijau pertamanya di Eastfields dan Bunkers Hill, United Kingdom, yang dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2025.

Projek ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang TNB untuk memperoleh pulangan dalam mata wang asing dan menyokong agenda peralihan tenaga global.

Tanggungjawab Sosial Korporat: RM45 Juta Dalam Suku Pertama 2025

TNB komited memacu kemajuan dengan memberi impak sosial positif kepada komuniti melalui peruntukan satu peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT), bagi menyokong pembangunan komuniti dalam aspek sosial, pendidikan, alam sekitar dan sukan.

Dalam suku pertama 2025 sahaja, lebih RM45 juta telah disalurkan untuk pelbagai inisiatif berpaksikan rakyat di seluruh negara.

“Kekuatan kewangan bukan matlamat akhir, sebaliknya menjadi landasan untuk kami memberi impak yang bermakna kepada rakyat.

Ketika kami memodenkan grid dan memperluaskan portfolio tenaga boleh baharu, kami turut memberi tumpuan untuk memastikan tiada komuniti tercicir. Inilah teras utama misi kami, membawa kemajuan yang mampu memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia,” ujar Megat Jalaluddin.

Pendidikan Sebagai Pelaburan Masa Depan

Sementara itu, Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata:

“Melangkaui pembekalan tenaga, TNB komited untuk membangunkan generasi masa depan melalui pendidikan.

Program-program kami mencerminkan pelaburan jangka panjang dalam komuniti yang kami berkhidmat, memastikan tiada anak yang tercicir dalam perjalanan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan ilmu yang lebih inklusif.”

Antara program utama termasuk Inisiatif Pendidikan, Ceria ke Sekolah, Ihya Ramadan, Agihan Zakat Wakalah, Sokongan Kesihatan, Bantuan Bencana, Sokongan kepada Komuniti Orang Asli dan Pembangunan Sukan Negara.

Impak Pendidikan, Sosial dan Kesihatan

  • Pendidikan: Lebih RM36 juta disalurkan melalui tajaan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN), memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar.
  • Bantuan Asnaf: Hampir RM4 juta kepada lebih 14,000 penerima termasuk Projek Baiti Jannati, baik pulih rumah, bantuan fakir miskin, serta sumbangan Fisabilillah (masjid, surau, pendidikan).
  • Kesihatan: Hampir RM300,000 untuk 2,560 individu, termasuk sumbangan peralatan kepada Hospital Rehabilitasi Cheras dan Hospital Pakar USM, serta sambutan Hari Kanser Sedunia 2025.

Program Sekolah Angkat Diperkasa

Sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan komuniti jangka panjang, Program Sekolah Angkat TNB diperluas kepada 50 sekolah berbanding 36 sebelumnya, dengan pelaburan sekitar RM2.3 juta.

Program ini merangkumi:

  • Confirm AI bersama UNITEN (10 sekolah)
  • Trust School for Peer Assisted Learning And Sharing (PALS) (6 sekolah)
  • TNB Thunderbolt (7 sekolah)
  • PINTAR TNB bersama Yayasan Pintar (13 sekolah)
  • Sekolah Angkat MADANI (14 sekolah)

Melangkaui Penyaluran Tenaga

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen TNB untuk membina Malaysia yang bersedia menghadapi masa depan, di mana kemajuan digerakkan bukan sahaja oleh tenaga yang boleh dipercayai dan mampan tetapi juga dengan peluang inklusif yang memperkasa komuniti, membina generasi akan datang dan mengukuhkan jalinan sosial negara.

Melalui tumpuan terhadap kecemerlangan operasi dan pelaburan semula yang berfokus, TNB kekal teguh dalam usahanya untuk memberi impak, melangkaui penyaluran tenaga.

Kredit: BERNAMA

author avatar

Zakwan kini memfokuskan tugasan penulisan artikel pemasaran di Oh! Media, menghasilkan kandungan yang informatif dan relevan untuk menyokong strategi pemasaran yang berkesan.

Scroll to Top