TNB nafi tarif elektrik naik mulai April

TNB nafi tarif elektrik naik mulai April

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan akan berlaku kenaikan tarif elektrik bermula April ini.

Sebaliknya, TNB dalam kenyataan malam ini, menegaskan sebarang pelarasan kos elektrik ketika ini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dilaksanakan dalam sektor tenaga sejak Julai 2025.

TNB menyifatkan maklumat terbabit berpotensi mengelirukan orang ramai, selain menegaskan akan melaporkan penyebaran maklumat tidak benar itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

“Kadar AFA adalah berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing dan diselaraskan secara bulanan melalui pengesahan Suruhanjaya Tenaga (ST).

“TNB menegaskan sebarang perubahan berkaitan kadar AFA akan diumumkan secara rasmi oleh TNB melalui saluran sah, selain komited memastikan pengguna menerima maklumat tepat dan telus,” katanya.

Sementara itu, TNB menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat belum disahkan, selain perlu merujuk hanya kepada pengumuman rasmi agensi berkenaan.

“Orang ramai perlu menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi bagi mengelakkan kekeliruan.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui mesej secara terus di Facebook TNB Careline dan platform X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke CareLine@myTNB.my,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top