am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelanggan domestik yang kadar penggunaan elektrik bulanannya sebanyak 600 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah akan terus menikmati pengecualian daripada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
Berdasarkan laman sesawang Tenaaga Nasional Berhad (TNB), pelanggan terbabit juga akan terus menikmati pengecualian Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar lapan peratus.
Selain itu, pelanggan domestik yang penggunaan elektrik bulanannya 300kWj dan ke bawah sebulan, menerima pengecualian daripada Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB).
“Kadar AFA akan tertera setiap bulan dalam bil elektrik, sekiranya terdapat perubahan pada harga pasaran bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing.
“Pengisytiharan kadar AFA (dalam unit sen/kWj) adalah berdasarkan pengesahan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) atau pemakluman rasmi melalui keputusan menteri,” katanya.
Mekanisme AFA mengira kos bahan api diperlukan untuk menjana elektrik berdasarkan harga pasaran dan kadar pertukaran asing, selain kadar berkenaan dikemas kini setiap bulan.
Memperincikan kadar AFA, TNB dalam muat naik sama memaklumkan, rebat AFA akan dikurangkan daripada RM0.0215 setiap kWj kepada RM0.0047 setiap kWj, antara 1 hingga 30 April ini.
TNB juga mengunjurkan rebat AFA ditetapkan pada kadar RM0.0039 setiap kWj antara 1 hingga 31 Mei ini, manakala antara 1 hingga 30 Jun (RM0.0091 kWj) serta antara 1 hingga 31 Julai (RM0.0008 kWj).
Berdasarkan kalkulator bil TNB, pelanggan domestik (am) yang penggunaan elektrik bulanan 300kWj pada April ini, perlu membayar RM65.79, selepas menikmati pengecualian AFA, SST dan KWTBB.
Biarpun masih menikmati pengecualian kadar AFA dan SST, pelanggan domestik (am) yang penggunaan elektrik bulanannya 600kWj bagi tempoh sama perlu membayar RM215.98, termasuk sebanyak 1.6 peratus kadar KWTBB, manakala penggunaan 601kwj (RM233.52).
© New Straits Times Press (M) Bhd



