TNB, TM jalin kerjasama perkukuh tenaga hijau dan infrastruktur digital

TNB, TM jalin kerjasama perkukuh tenaga hijau dan infrastruktur digital

SHAH ALAM – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkukuh pembangunan penyelesaian tenaga hijau serta infrastruktur tenaga dan telekomunikasi yang lebih pintar di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Shamsul Ahmad berkata, kerjasama itu memfokuskan penyelesaian tenaga mampan, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi manfaat langsung pelanggan.

“Sebagai pelaksanaan awal kerjasama ini, kami menilai potensi pemasangan sistem solar sehingga 150 premis TM selain menyasarkan peluasan pemasangan kepada lebih banyak kediaman Unifi Home pelanggan setiap tahun.

“Melalui GSPARX, pakej sistem solar akan terus ditambah baik agar memberi nilai tambah kepada pengguna. Selain itu, peningkatan rangkaian stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) turut dirangka dalam pelaksanaan kerjasama ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB dan TM berlangsung pada 9 Mac lalu bagi menggabungkan kepakaran tenaga hijau dan digital kedua-dua syarikat selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta agenda transformasi digital negara.

Hubungan antara kedua-dua syarikat itu telah lama terjalin termasuk melalui sokongan rangkaian komunikasi ke pencawang utama, perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), pusat panggilan awan (cloud) serta kerjasama dalam program tenaga hijau.

Sehingga 31 Disember 2025, GSPARX yang ditubuhkan pada Januari 2018 telah memperoleh lebih 530 megawatt (MW) projek solar bumbung yang menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di lebih 3,000 kediaman dan premis komersial.

Selain itu, TNB turut memasang kira-kira 256 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara di bawah jenama TNB Electron bagi menyediakan fasiliti grid serta sokongan elektrik untuk operasi pengecasan.

Shamsul berkata, dengan pertambahan stesen pengecasan, pengguna EV mempunyai lebih banyak lokasi untuk mengecas sekali gus memberikan kemudahan dan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

“TNB juga komited menyokong NETR bagi mempertingkat penggunaan tenaga boleh baharu serta memperkukuh agenda peralihan negara ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama TNB dan TM memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu penyelesaian tenaga lestari, pemerkasaan teknologi digital serta penyumberan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara strategik.

“TNB melalui solusi GSPARX dan TNB Electron akan melaksanakan inisiatif berkaitan tenaga hijau seperti pemasangan solar di bangunan, penyelesaian solar secara pakej dan perluasan rangkaian pengecas EV. Dengan memanfaatkan teknologi digital, usaha ini dapat membantu mengurus penggunaan tenaga dengan lebih cekap serta menggalakkan penggunaan tenaga hijau.

“Kami juga akan meneroka kerjasama dalam teknologi digital dan inovasi selain menilai kaedah penyumberan perkhidmatan ICT secara lebih tersusun dengan penjajaran harga lebih kompetitif. Langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi, pengalaman pelanggan serta memastikan ketersediaan digital mampan untuk jangka panjang,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat dalam memperkukuh ekosistem tenaga dan digital negara.

“TM dan TNB mewakili dua tonggak utama infrastruktur kritikal Malaysia. Dengan menggabungkan kepimpinan TNB dalam tenaga boleh diperbaharui bersama kekuatan TM dalam infrastruktur digital seluruh negara, saya yakin kerjasama ini akan mewujudkan nilai kepada kedua-dua organisasi.

“Selaras dengan aspirasi Digital Powerhouse 2030, inisiatif tersebut mencerminkan usaha TM dalam memperkasa transformasi digital merentasi sektor-sektor utama negara,” katanya.

Tambahnya, kerjasama tersebut berpotensi memberi manfaat langsung kepada pelanggan termasuk pengurangan kos operasi serta akses kepada kemudahan pengecasan EV di lokasi terpilih.

“Pelanggan juga boleh memanfaatkan sistem digital pintar dan analitik berasaskan AI bagi memantau penggunaan tenaga, mengesan gangguan lebih awal serta mempercepat pemulihan bekalan,” ujar beliau.

Ringkasan AI

  • TNB dan TM menjalankan kerjasama strategik untuk mengukuhkan pembangunan penyelesaian tenaga hijau dan infrastruktur tenaga serta telekomunikasi
  • Kerjasama ini tertumpu pada penyelesaian tenaga mampan, teknologi digital, dan kecerdasan buatan untuk manfaat pelanggan
  • Sebagai pelaksanaan awal, kerjasama merangkumi potensi pemasangan sistem solar di premis TM dan peluasan pemasangan bagi pelanggan Unifi Home
  • GSPARX dan TNB Electron adalah inisiatif bagi penyampaian penyelesaian tenaga hijau termasuk pemasangan solar dan perluasan rangkaian pengecas EV
  • Kerjasama ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan operasi, pengalaman pelanggan dan memastikan ketersediaan digital mampan jangka panjang
Scroll to Top