am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Tokoh Akademik dan Sejarawan Johor, Prof Datuk Dr Kassim Thukiman diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1448H/2026M, hari ini.
Anugerah itu mengiktiraf sumbangan besar Kassim, 63, dalam bidang pendidikan, sejarah serta pembangunan syiar Islam di Johor.
Beliau yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyifatkan pengiktirafan itu satu penghormatan tertinggi dan menjadi dorongan untuknya terus menyumbang kepada masyarakat walaupun sudah bersara pada 2021.
Katanya, amanah yang diberikan sebagai Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor membuka ruang untuk beliau terus memperkasakan penyelidikan, penulisan dan penyebaran sejarah kegemilangan Johor kepada masyarakat.
Kassim juga mengingatkan generasi muda supaya tidak terlalu taksub dengan teknologi sehingga melupakan sejarah yang menjadi asas pembinaan tamadun bangsa dan negara.
Terdahulu anugerah disampaikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Onn Hafiz dalam ucapannya berkata, sebarang pembangunan dan kemajuan yang hendak dibawa ke Johor haruslah bertunjangkan nilai Islam, termasuk sentiasa melakukan penambahbaikan demi hijrah ke tahap yang lebih baik.
Beliau turut mencadangkan tambahan sekurang-kurangnya 10 sekolah agama baharu bagi memantapkan lagi institusi pendidikan berteras Islam di Johor.
Selain itu katanya, pendekatan kerajaan negeri memulangkan hasil kepada rakyat menjadi asbab Allah SWT sentiasa melipat gandakan rezeki buat negeri itu.
“Tiga empat tahun ini kita lihat satu peningkatan yang luar biasa bagi hasil negeri ini. Tahun lalu, kita sasar RM2 bilion hasil tetapi dengan kuasa Allah SWT, kita tutup akaun dengan jumlah RM2.6 bilion. Peningkatan RM650 juta.
“Hasil zakat kita dulu pada 2022, RM367 juta, (tapi) tahun lalu meningkat sebanyak RM448 juta iaitu peningkatan hampir RM100 juta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




