am@hmetro.com.my
Jasin: Tokong yang mencetuskan kontroversi di Pantai Siring di sini, akan dirobohkan dalam masa terdekat selepas proses pemindahan barangan suci selesai dilakukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata, keputusan awal untuk merobohkan struktur itu ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pihak berkaitan menjalankan ritual serta memindahkan bahan keagamaan.
Menurutnya, langkah itu diambil sebagai menghormati keperluan penganut agama berkenaan sebelum sebarang tindakan diambil terhadap struktur terbabit.
“Kita beri ruang kepada pemilik untuk mengambil barangan suci mereka terlebih dahulu dan dijangka diselesaikan seawal pagi esok.
“Selepas itu, semua agensi terbabit akan melaksanakan proses merobohkan struktur yang dibina di atas tanah rizab kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi tokong kontroversi di Pantai Siring di sini, hari ini.
Zaidi berkata, tokong berkenaan dikenal pasti sebagai struktur tidak berdaftar yang didirikan di kawasan tepi Pantai Siring.
Katanya, pihak berkuasa sudah mengenal pasti individu yang dipercayai bertanggungjawab menulis kalimah Allah di beberapa lokasi termasuk di kawasan tokong berkenaan.
Beliau berkata, individu terbabit dipercayai kurang siuman, namun perbuatannya tetap menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu dalam isu membabitkan sensitiviti agama.
“Sebaliknya menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk menguruskan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan setiap tindakan diambil secara teratur bagi mengekalkan keharmonian masyarakat.
Terdahulu media melaporkan penemuan kalimah Allah pada sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu-Pantai Siring di sini disiasat pihak berkuasa kerana dikhuatiri menimbulkan sensitiviti agama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




