Tokti imbau kenangan nyanyi lagu 'cari makan', Yue Liang Dai Biao Wo De Xin

Tokti imbau kenangan nyanyi lagu 'cari makan', Yue Liang Dai Biao Wo De Xin

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengimbau momen manis di awal kerjaya seninya apabila sering menyanyikan lagu klasikal Mandarin terkenal, Yue Liang Dai Biao Wo De Xin (The Moon Represents My Heart) untuk mencari rezeki dalam industri seni.

Perkara itu dikongsikan sendiri Siti Nurhaliza pada Konsert Cuckootopia Penghargaan Ulang Tahun Ke-12, di sini, malam tadi.

Nyanyian yang menggamit memori itu tercetus selepas personaliti media sosial dan usahawan, Phei Yong menyuarakan hasrat untuk mendengar penyanyi nombor satu negara itu membawakan lagu berkenaan secara langsung.

“Saya pun ada cita-cita. Dulu masa saya kecil-kecil semasa di sekolah rendah lagi, saya tengok TV3 dan dengar Tokti (panggilan Siti) menyanyi lagu Bahasa Cina.

“Malam ini (tadi) boleh tak saya nak dengar balik lagu itu?” katanya kepada Siti Nurhaliza.

Menjawab permintaan berkenaan, Siti Nurhaliza mengakui lagu terbabit mempunyai nilai sentimental dan makna yang cukup besar dalam lipatan sejarah awal kerjaya seninya.

“Itu antara lagu yang saya pernah menyanyi masa saya baru jadi artis dan lagu ‘cari makan’ saya. Lagu itu memang saya selalu menyanyikanlah,” katanya sebelum mengalunkan lagu berkenaan yang disambut dengan sorakan gemuruh penonton.

Lagu klasikal Mandarin berkenaan dipopularkan oleh penyanyi legenda Taiwan, Teresa Teng (Deng Lijun) pada 1977 nyanyian asal Chen Fen-lan.

Terdahulu, Siti Nurhaliza yang juga Duta Cuckoo mempersembahkan lagu Kesuma dan Menamakanmu Cinta pada konsert sama.

Konsert berkenaan dihoskan oleh Kamal Adli, Fizza Frizzy dan Owen Yap dengan persembahan artis jemputan antaranya Firdhaus, Jaclyn Victor, Ella, Mimifly, Alpha dan ramai lagi.

Duta Global Cuckoo yang juga pelakon Korea Selatan iaitu Lee Jun Ho turut hadir bagi memeriahkan konsert berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top