'Tokwan' tak mengaku rogol cucu saudara

'Tokwan' tak mengaku rogol cucu saudara

am@hmetro.com.my

Butterworth: Seorang duda kematian isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol cucu saudaranya antara tahun 2022 hingga 2023.

Tertuduh, Sabri Saidin,67 yang juga pesara kerani sekolah mohon kesnya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas di sini, antara 2022 hingga 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala tertuduh diwakili Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan.

Semasa prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap warga emas terbabit dengan mengambil kira hubungan tertuduh sebagai datuk saudara mangsa selain kediaman mereka berhampiran sekali gus boleh menimbulkan risiko gangguan terhadap mangsa.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh mempunyai masalah kesihatan, selain memerlukan rawatan berkala di hospital termasuk berdepan masalah pendengaran.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa termasuk saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 24 September depan bagi mendapatkan laporan perubatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top