Tolak watak pedofilia

Tolak watak pedofilia

am@hmetro.com.my

PENGARAH dan pelakon berpengalaman, Nam Ron mendedahkan dia menolak tawaran membawa watak lelaki pedofilia kerana tidak sanggup menanggung beban emosi yang terpaksa dilalui demi menghidupkan karakter itu.

Menurut Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 56, walaupun terbuka menerima watak mencabar, namun ada batasnya terutama jika ia membabitkan perlakuan seksual terhadap kanak-kanak.

“Saya ditawarkan watak lelaki pedofilia yang ada babak gangguan seksual terhadap kanak-kanak. Tetapi saya tolak.

“Ia sangat berat untuk dibawa sebab saya tahu ia akan menyakitkan secara dalaman kerana lakonan ini berkait rapat dengan rasa,” katanya.

Nam Ron berkata, dia pernah melalui kesan emosi yang berpanjangan selepas membawa watak Rashid dalam drama Karlos (2013), seorang bapa pemarah, pemabuk dan kaki judi yang akhirnya terbawa-bawa ke rumah.

“Waktu itu saya betul-betul masuk dalam karakter. Saya jadi cepat marah, sampai tengking anak hanya sebab benda kecil. Mereka jadi pelik dan terpinga-pinga dengan perubahan saya,” katanya.

Kini, dia lebih berhati-hati dan tahu bila perlu melepaskan watak selepas tamat penggambaran.

“Sekarang saya dah tahu bagaimana nak kawal. Bila berada di luar set, saya tinggalkan karakter itu di belakang. Kita berlakon guna rasa, tapi kena tahu bila perlu berhenti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nam Ron bakal tampil dalam pementasan teater Persiapan Seorang Aktor yang dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) bermula Khamis hingga Ahad ini.

Kata Nam Ron lagi, dia selesa dengan proses latihan kerana diberi ruang berkarya oleh pengarah, Syahrul Musa, selain dibantu oleh rakan pelakon berpengalaman.

“Pengarah sangat tenang dan tidak beri tekanan. Saya juga belajar banyak daripada Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin. Saya bukan bermula dengan teater, jadi banyak benda saya kutip dari mereka,” katanya.

Naskhah ini menyelami perjuangan seorang pelakon lelaki yang obses mencapai kesempurnaan dalam seni lakon, bukan hanya di peringkat lokal, tetapi turut menjangkau impian sebagai pelakon pentas berkelas dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top