Tolong beri ruang untuk saya pulihkan semangat – Linda Rafar

Tolong beri ruang untuk saya pulihkan semangat – Linda Rafar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya sayang Elite dan peminat Elite yang sudah bersama saya seawal usia belasan tahun.

“Jadi, saya perlukan masa dan doa dari anda semua semoga ada jalan penyelesaian sebelum Konsert GenKRU The Finale: One More Time pada November ini,” kata pelakon dan penyanyi, Linda Rafar, 47, ketika diminta mengulas keputusannya untuk keluar dari kumpulan Elite, baru-baru ini.

Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Abdul Rafar berkata, dia juga baru berbincang dengan pihak pengurusannya iaitu Iman Tang dan anggota Elite yang lain mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, pihak pengurusan dan anggota Elite yang lain memang tidak setuju seratus peratus dengan keputusannya untuk keluar dari Elite itu.

“Saya juga masih ada ‘terhutang show’ yang besar, ‘endorsement’ dan sebagainya bersama kumpulan Elite.

“Jadi, saya tidak boleh selfish’ (pentingkan diri sendiri) untuk memikirkan masalah saya ini.

“Semoga kenyataan saya ini memberi peluang untuk saya dapat berehat dan berfikir lagi. Tolong beri ruang untuk saya pulihkan semangat yang sudah pergi jauh ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, kata Linda, dia juga mohon maaf kerana baru sekarang boleh beri kenyataan kepada pihak media.

“Saya mohon maaf kerana emosi tidak berapa stabil sekarang dan baru hari ini, saya boleh kongsi sikit apa yang berlaku.

“Sebenarnya, terus terang, saya memang sangat terkesan dengan komen-komen netizen yang tidak suka saya bersama Elite. Ada yang cakap dah tua ni eloklah duduk rumah buat amal ibadah.

“Di situ lah saya mula berfikir yang bukan-bukan sampai tahap salahkan diri kerana semua komen negatif itu,” katanya.

Terdahulu, Linda meluahkan hantaran berbentuk emosi menerusi platform media sosial sekali gus membayangkan penarikan dirinya daripada sebarang aktiviti bersama kumpulan Elite.

Linda berkongsi perkara itu di Thread dan menyifatkan terpaksa mengambil keputusan berat berkenaan.

Pada pertengahan bulan lalu, Linda juga membuat kemunculan semula bersama anggota kumpulannya yang lain seperti Abby Abadi, Azza Zawari, Sasha Saidin dan Watie Sadali ketika menjayakan Konsert Elite Live 25 di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top