Paris: Pelumba Britain, Tom Pidcock, bakal kembali beraksi di pentas terbesar berbasikal dunia, Tour de France 2026, namun kali ini dengan cabaran baharu bersama pasukan Pinarello Q36.5.
Pasukan Switzerland itu mengesahkan slot automatik ketiga-tiga Grand Tour termasuk Tour de France selepas mengumpul mata mencukupi musim lalu, sekali gus membuka laluan buat Pidcock membuat penampilan keempatnya di perlumbaan berprestij berkenaan.
Pidcock sebelum ini mengambil keputusan berisiko apabila meninggalkan Ineos Grenadiers lebih awal hujung 2024 susulan hubungan yang tidak lagi sehaluan, sebelum menyertai Q36.5 sebagai pelumba utama pasukan.
Keputusan itu nyata membuahkan hasil apabila Pidcock mengumpul hampir lima kali ganda mata berbanding rakan sepasukan lain, termasuk kejayaan podium di Vuelta a España, sekali gus membantu Q36.5 menamatkan saingan di tangga ke-19 keseluruhan ranking UCI.
“The Tour de France adalah perlumbaan terbesar di dunia. Jadi untuk berada di sana dan cuba beri prestasi terbaik adalah satu penghormatan.
“Saya rasa ia satu tugasan yang sangat menarik buat kami sebagai pasukan. Lebih istimewa kerana kami layak ke Tour de France hasil prestasi sendiri musim lalu dan tiada siapa boleh merampas peluang itu daripada kami,” katanya.
Sepanjang bersama Ineos, Pidcock beraksi di Tour de France selama tiga musim berturut turut dengan pencapaian terbaiknya kemenangan dramatik peringkat Alpe d’Huez pada 2022, namun gagal meraih kemenangan peringkat pada 2023 dan 2024, selain tidak benar benar menyerlah dalam perebutan gelaran keseluruhan.
Namun berbeza kali ini, Pidcock bakal menjadi tumpuan utama dan ketua GC pasukan, bukannya sekadar salah seorang pemimpin bersama seperti sebelum ini.
“Saya melalui naik turun di Tour de France sebelum ini. Jadi dengan pasukan baharu, dapat melayakkan diri sendiri ke Tour adalah sesuatu yang sangat bermakna.
“Objektif peribadi saya adalah untuk menikmati perlumbaan ini, menikmati kesakitan dan intensiti. Jika kami menikmatinya sebagai satu pasukan, keputusan baik akan menyusul,” katanya.
Pidcock kini menjalani latihan altitud di Chile sebagai persiapan awal musim sebelum memulakan kempen 2026 di Vuelta a la Región de Murcia pada 13 Februari, diikuti beberapa perlumbaan besar termasuk Milan San Remo dan siri Ardennes sebelum memberi fokus penuh ke Tour de France.
© New Straits Times Press (M) Bhd




