Tomiyasu akhirnya dipanggil semula

Tomiyasu akhirnya dipanggil semula

Tokyo: Takehiro Tomiyasu menerima talian hayat untuk kembali beraksi di Piala Dunia apabila dipanggil semula menyertai skuad Jepun buat kali pertama dalam hampir dua tahun.

Bekas pertahanan Arsenal itu yang kini bersama Ajax sebelum ini bergelut dengan kecederaan dan meninggalkan kelab London itu tahun lalu bagi memberi fokus kepada proses pemulihan.

Pemain berusia 27 tahun itu kembali beraksi pada Januari lalu selepas kali terakhir tampil pada Oktober 2024.

Tomiyasu disenaraikan oleh ketua jurulatih, Hajime Moriyasu bagi aksi persahabatan menentang Scotland di Glasgow pada 28 Mac sebelum berdepan England di Wembley tiga hari kemudian.

Turut dipanggil ialah pertahanan Hiroki Ito dari Bayern Munich yang juga kembali daripada kecederaan.

“Jika melihat potensi mereka, jika berada pada tahap terbaik, sudah tentu mereka boleh membantu Jepun di Piala Dunia,” kata Moriyasu.

Tambahnya, kedua-dua pemain perlu menyesuaikan diri semula dengan corak permainan pasukan selepas lama tidak bersama skuad kebangsaan.

Jepun diundi dalam Kumpulan F bersama Belanda, Tunisia serta satu lagi wakil Eropah bagi kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Tomiyasu yang memiliki 42 kaps antarabangsa sebelum ini beraksi pada Piala Dunia 2022 di Qatar dan pernah membuat 84 penampilan bersama Arsenal.

Skuad Jepun bagaimanapun turut dilanda kecederaan dengan ketiadaan Takumi Minamino dan Takefusa Kubo.

Dalam masa sama, penyerang muda Kento Shiogai menerima panggilan pertama ke skuad kebangsaan.

Moriyasu menegaskan peluang ke Piala Dunia masih terbuka kepada semua pemain yang mampu memberikan impak terbaik kepada pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top