Tompok putih muncul tiba-tiba di leher

Tompok putih muncul tiba-tiba di leher

zatuliffah@hmetro.com.my

Bera: Kehidupan seorang pelajar tingkatan empat, Mohammad Rayan Akram Mohd Khairul Azwa, 16, berubah sekelip mata apabila tubuhnya dipenuhi tompok putih akibat penyakit psoriasis (penyakit kulit kronik) menyebabkan pergerakannya terbatas.

Mohammad Rayan Akram atau Akram yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar 32, di sini, mula mengalami perubahan pada awal tahun lalu apabila tompok putih muncul secara tiba-tiba di bahagian leher sebelum merebak ke seluruh badan dalam tempoh tiga bulan.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu berkata, keadaan menjadi semakin teruk pada Disember tahun lalu apabila kulitnya mula tegang sehingga menyukarkannya untuk berjalan seperti biasa.

“Sebelum itu, saya memang ada buat pemeriksaan di klinik kesihatan namun selepas keadaan menjadi semakin teruk, saya dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh sebelum disahkan menghidap psoriasis.

“Hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya ketika itu terutama apabila doktor memaklumkan tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini ketika ini, sebaliknya hanya rawatan untuk mengawal simptom, mengurangkan keradangan dan mencegah keadaan menjadi lebih teruk,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Akram, dia kini bergantung kepada krim sapuan berharga RM80 sebotol dengan tiga botol diperlukan untuk seminggu bagi mengurangkan kesakitan dialaminya.

“Memang banyak pakai duit untuk beli krim itu tetapi hanya itu yang dapat mengurangkan rasa sakit selain ada kalanya, saya terpaksa mengambil panadol apabila keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Menurut Akram lagi, dia turut menjadi ejekan dan menerima pandangan sinis daripada segelintir individu yang tidak memahami keadaannya.

“Saya sedih apabila dijadikan bahan ejekan menyebabkan emosi terganggu.

“Akibat keadaan itu, saya mengambil cuti daripada bersekolah selepas Aidiladha lalu bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan,” katanya.

Tambah Akram, dia berharap kisah yang dikongsinya di media sosial dapat membuka mata masyarakat supaya tidak memandang rendah atau mengejek individu yang mempunyai masalah kulit sepertinya, sebaliknya memberikan sokongan.

“Saya bukan nak raih simpati tetapi mahu lebih ramai yang peka tentang penyakit ini. Jangan menghukum kami kerana kami tidak minta mendapat penyakit ini,” katanya.

Sementara itu, Nor Hamizah Abdul Rahim, 37, berkata, dia berasa sedih melihat keadaan anaknya yang terpaksa berdepan perubahan besar dalam hidup pada usia remaja.

“Memang tidak ada dalam keluarga yang pernah menghidap penyakit seperti Akram, jadi memang susah sikit nak terima pada peringkat awal.

“Namun, saya dan suami, (Mohd Khairul Azwa Annuar, 39) perlu kuat demi Akram kerana dia perlukan sokongan,” katanya.

Menurutnya, sebagai ibu, dia sedih melihat penderitaan dialaminya anaknya itu terutama apabila menjadi mangsa ejekan individu tertentu akibat penyakit terbabit.

“Saya hanya mampu anak bersabar dan berharap masyarakat lebih prihatin dengan memberikan sokongan kepada pesakit kulit ini kerana mereka perlukan semangat untuk meneruskan kehidupan, bukannya hinaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top